HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2019

Kumpulan perokok gesa menteri tangguh larangan

MALAYSIAKINI




Sekumpulan perokok mencabar larangan merokok oleh kerajaan di kedai-kedai makan dengan merayu Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menangguhkan penguatkuasaan tahun depan sehingga perkara itu diselesaikan di Mahkamah Rayuan.

Pengerusi Persatuan Kesedaran Perokok, Mohd Hanizam Yunus berkata, kumpulannya merayu di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan mereka dengan pengurusan kes ditetapkan pada 17 Jan tahun depan.

Mohd Hanizam berkata pihaknya mengarahkan peguam Haniff Khatri untuk menulis kepada Dzulkefly dan meminta beliau menggunakan budi bicara dalam menangguhkan tindakan penguatkuasaan.

"Ini adalah untuk membolehkan mahkamah rayuan selesaikan proses dan bicara rayuan yang masih wujud di situ, agar tidak ada prejudis kepada kesemua pihak , sama ada pihak pelaksana Kementerian mahupun pihak perokok," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, surat itu dihantar kepada Dzulkefly pada 24 Disember lalu namun mereka masih belum menerima jawapan.

"Berbesarlah hati kami sekiranya YB Menteri Kesihatan dapat mengeluarkan satu kenyataan yang positif, adil dan saksama terhadap permohonan kami ini sebelum 1.1.2020," katanya.

Pengharaman merokok di kedai-kedai makan berkuat kuasa tahun ini.

Dzulkefly berkata buat permulaan pihak berkuasa menggunakan pendekatan "berlembut" kepada perokok yang masih ingkar tanpa mengeluarkan denda, sebaliknya memberikan nasihat kepada mereka.

Bagaimanapun, penguatkuasaan penuh akan bermula tahun depan.


Tiada ulasan: