HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Disember 2019

Ronnie kata Presiden PAS rasis dan ekstremis

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR 
 
RONNIE Liu dari DAP mahu ajar kita.

Katanya kalau mahu kenal bagaimana seorang rasis tegar melihat masyarakat bukan Melayu maka lihatlah pada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Katanya lagi Tuan Guru lah seorang rasis yang ekstrem.

Ini berikutan ulasan Tuan Guru terhadap NGO Dong Zong. Tuan Guru dipetik berkata:

“Dong Zong diingatkan agar tidak melampaui batas.

“Ia bukan berkenaan kerajaan berlembut dengan mereka tetapi sikap mereka sendiri. Mereka faham tapi tindakannya seolah-olah mereka tidak faham, alam (tanah) mana mereka duduk.

“Alam Melayu atau alam Cina, atau alam media? Sepatutnya mereka faham mereka kini duduk di alam mana. Kalau ikan di laut tak akan pergi ke alam sungai. Kalau hanyut, mereka akan balik.

“Tetapi mereka terlalu jauh hanyut sedangkan mereka duduk di alam Melayu, bukan alam Cina. Bukan semua orang Cina begitu, saya tak hukum orang Cina tetapi puak ini sahaja, iaitu Dong Zong,”

Kenyataan ini tidak rasis dan tertumpu pada Dong Zong dan bukan masyarakat Cina amnya.

Yang rasis dan ekstremis kebelakangan ini adalah Ronnie Liu sendiri. Beliau hadir sebagai tetamu khas dalam satu himpunan bekas anggota PKM di Kajang.

Dalam majlis berkenaan beliau mengakui datuk dan abangnya juga pernah berjuang bersama parti pengganas ini dan mendakwa ia sebahagian dari perjuangan menuntut kemerdekaan.

Tiba-tiba Ronnie mahu ajar kita siapa rasis dan ekstremis.

Mohon ADUN DAP ini baca kenyataan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir berkenaan Dong Zong.

Tun dilaporkan berkata:

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai satu pertubuhan yang rasis.

Tegasnya, sifat rasis tersebut jelas terbukti apabila persatuan terbabit tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Menurut beliau, sikap degil Dong Zong juga dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran tulisan Jawi dan Khat di sekolah-sekolah Vernakular meskipun keputusan tersebut telah diluluskan kerajaan terdahulu pada tahun 2012.

Sepatutnya Ronnie serang Tun tetapi barangkali kerana bimbangkan kedudukannya, cucu pejuang Komunis ini sekadar berani menghalakannya pada Tuan Guru. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: