HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Januari 2020

99 polis kena tindakan tatatertib

nurul atikah 

 

Meningkat 32 kes berbanding 67 kes pada tahun 2018

KUALA TERENGGANU – Seramai 99 anggota polis di Terengganu dikenakan tindakan tatatertib, atas pelbagai kesalahan jenayah tahun lepas, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Katanya, ia melibatkan anggota daripada pelbagai pangkat dan daripada jumlah tersebut, sembilan orang adalah pegawai kanan polis, 88 pegawai berpangkat rendah dan dua pegawai awam, membabitkan kesalahan jenayah, narkotik, salah laku dan syariah.

“Sebanyak 74 kertas siasatan tatatertib telah dibuka, 12 kertas siasatan bagi kes jenayah yang melibatkan seorang pegawai kanan, 13 pegawai berpangkat rendah dan seorang pegawai awam. 15 kertas siasatan kesalahan narkotik dibuka, melibatkan seorang pegawai kanan dan 15 pegawai berpangkat rendah.

“Untuk kesalahan syariah hanya satu kertas siasatan dibuka membabitkan pegawai berpangkat rendah, 13 kertas siasatan bagi anggota yang tidak hadir bertugas melibatkan pegawai berpangkat rendah, satu pegawai awam manakala bagi kes salah laku terdapat 33 kertas siasatan membabitkan tujuh pegawai kanan dan 37 pegawai berpangkat rendah,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata, angka tersebut meningkat sebanyak 32 kes pada tahun lepas berbanding 67 kes yang dicatatkan pada 2018 dan seramai 13 anggota telah ditamatkan perkhidmatan, selepas didapati bersalah oleh mahkamah.

Aidi berkata, pihaknya memandang serius terhadap kesalahan disiplin anggotanya dan tidak akan berkompromi terutama dalam kes rasuah dan narkotik.

Dalam perkembangan lain yang melibatkan kes ugutan bunuh terhadap seorang wartawan penyiaran TV3 pada 1 Januari lalu, Aidi berkata, pihaknya kini aktif mengesan individu yang menghantar ugutan kepada mangsa dan sedang menunggu laporan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan butiran mereka yang terlibat.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang wartawan penyiaran tampil membuat laporan polis setelah menerima ugutan menerusi laman sosial Facebook setelah tular video pendedahan berkenaan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam, yang beroperasi tanpa kemudahan asas elektrik dan bekalan air pada hari pertama persekolahan.- Bernama



Tiada ulasan: