HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Januari 2020

Pembenihan awan mungkin ditangguh kerana cuaca tak sesuai, kata Mukhriz

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda berkata, paras air di Empangan 
Muda berkurangan dengan kapasiti pada tahap 17.88% pada 
15 Jan lalu, tetapi kapasiti air di Empangan Ahning (62.48%) 
dan Empangan Pedu (47.6%) masih mampu dilepaskan untuk 
kegunaan pertanian dan domestik. (Gambar Bernama)
 
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah sedang menunggu maklumat daripada Jabatan Meteorologi untuk menentukan masa yang paling sesuai membuat proses pembenihan awan.

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata, pembenihan awan yang dijadualkan hari ini mungkin tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Semalam kita nampak sudah ada awan sedikit, tetapi hari ini langit membiru semula, jadi kita sentiasa mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi bila masa paling sesuai untuk lakukan proses ini kerana kita sangat memerlukan hujan.

“Sudah lebih 2 bulan tidak hujan dan rata-rata tempat di negeri ini mengalami masalah bekalan air dan ia memberi kesan buruk kepada jaminan bekalan makanan bukan saja padi, perikanan juga terjejas kerana suhu air laut meningkat menyebabkan bekalan ikan tidak cukup,” katanya selepas menghadiri perhimpunan penjawat awam dan hari bertemu pelanggan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Dataran Medan Bandar hari ini.

Mukhriz berkata, paras air di empangan utama negeri, iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu juga berkurangan kepada tahap 30%, namun pihaknya sentiasa memantau paras air setiap hari.

“Jumlah air di semua empangan berbeza, ada yang rendah dan ada yang tinggi, tetapi kita akan pantau setiap hari. Kita juga terpaksa lepaskan air empangan ke sungai untuk kegunaan domestik.”

Tiada ulasan: