“AKAK, ini ada surat ustaz kami bagi. Akak sebar-sebarkanlah benda ini ya.”
Menurut Siti Suzaida Ibrahim, 20, itu ayat yang keluar dari mulut seorang pelajar tahfiz ketika memberikan surat kepadanya sewaktu dia dan tiga lagi rakan berada di sebuah pondok berhampiran padang bola sepak di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor sekitar Ogos tahun lalu.
Terus melakukan perkongsian perihal terbabit di akaun Twitter miliknya, gambar surat yang dimuat naik itu bagaimanapun tular semula di media sosial selepas beberapa pengikutnya mula mengulang kicau hantaran berkenaan baru-baru ini.
Surat berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet apabila ia mengandungi kata-kata nasihat berhubung penutupan aurat yang sempurna di kalangan perempuan Islam disertai petikan hadis yang disifatkan luar biasa untuk usia budak.
Siti Suzaida berkata, sewaktu kejadian sekitar jam 6 petang hari Jumaat, dia dan rakannya sedang menyiapkan tugasan kuliah sebelum dihampiri seorang remaja lelaki berusia lingkungan akhir sekolah rendah atau awal sekolah menengah.
Jelasnya, sebelum itu, dia sudah menyedari remaja terbabit seperti berulang kali memandang ke arah mereka berempat dan berkata sesuatu sesama rakan lain sambil bermain bola sepak.
“Kami memang lepak di pondok itu hampir setiap hari sama ada untuk siapkan tugasan belajar bersama atau santai petang jadi kerap juga ternampak kumpulan budak lelaki itu.
“Mereka sering bermain bola sepak di situ pada waktu petang dan banyak kali juga kami ternampak mereka mencuri pandang ke arah saya dan rakan.
“Kami memang tidak pernah mengesyaki apa-apa dan hanya menganggapnya perkara biasa untuk melihat orang di sekeliling kita.
“Mungkin sepanjang waktu itu mereka mencari keberanian untuk serahkan surat kepada kami atau mengamati pemakaian kami,” katanya kepada Harian Metro.
Menceritakan lebih lanjut, Siti Suzaida berkata, selepas menerima surat itu, dia menyerahkannya kepada rakan untuk membaca sedikit kuat supaya boleh didengari keempat-empat mereka.
“Selesai dibaca, kami pandang sesama sendiri. Tiada sekelumit marah atau terasa hati pun kerana kami pun bukannya berpakaian seksi, masih bertudung malah baju pun longgar.
“Cuma, ada jugalah sedikit rasa malu sebab memang tidak dinafikan ada yang baju dilipat sedikit jadi sebahagian lengan tidak ditutup. Ada juga yang tidak menutup kaki secara sepenuhnya,” katanya.
Kata Siti Suzaida, berdasarkan surat terbabit, ia jelas bukanlah daripada ustaz remaja lelaki berkenaan memandangkan ia menggunakan kata ganti nama “akak.”
Malah jika diamati katanya, tulisan itu seakan bukan ditulis oleh lelaki sebaliknya perempuan.
“Tidak mustahil jika perempuan yang tulis kerana tulisannya agak kemas, gaya bahasanya juga seperti budak perempuan yang cuba menegur perempuan dewasa tetapi risau disalah anggap jadi dia wakilkan kepada budak lelaki. Tahfiz itu pun ada pelajar perempuan.
“Apapun, disebabkan surat itu juga saya tersedar mengenai aurat perempuan yang kadang-kala kita remehkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan