HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Januari 2020

Hantar dadah depan rumah [METROTV]

Amir Abd Hamid
 
 
 
KALAU dulu penagih dadah perlu ‘mengejar’ pembekal atau tokan bagi mendapatkan bekalan, tetapi kini mereka hanya perlu tunggu barangan haram itu dihantar ke lokasi dikehendaki selepas membuat pesanan.

Penghantaran bukan hanya dilakukan sekitar Lembah Klang sebaliknya sindiket pengedaran dadah yang mengiklankan pelbagai jenis dadah menerusi WeChat mampu menghantar bekalan haram itu ke Pulau Pinang dan Johor dengan membuat bayaran ketika penghantaran (COD).

Sumber berkata, sindiket yang didalangi warga tempatan turut memperoleh bekalan dadah dari negara jiran.

AIR minuman yang dicampur dadah.
“Sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu. Siasatan lanjut mengenainya termasuk dari mana bekalan dadah diperoleh sedang dilakukan.

“Kita percaya dadah itu ada diperoleh dari negara jiran selain bekalan tempatan,” katanya.

Keghairahan sindiket memasarkan pelbagai jenis dadah terutamanya ekstasi dan rokok ganja itu berakhir apabila Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan ‘transporter’ di kawasan kondominium di Taman Shamelin Perkasa, di sini, jam 10,50 pagi,
Isnin lalu sebelum dipandu ke sebuah kondominium di Kajang yang dijadikan stor simpanan barangan itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, sepasang kekasih warga tempatan dan Thailand antara tiga ditahan pihaknya selain merampas pelbagai dadah bernilai RM800,000.

Mohamed Mokhsein berkata, siasatan awal kita mendapati suspek menggunakan aplikasi WeChat bagi menjual dadah berkenaan.

“Iklan di aplikasi WeChat antaranya berbunyi ‘Order sekarang hantar sekarang’ dan ‘air bubble yang sedap’ tak ubah seperti perkhidmatan penghantaran makanan e-hailing.

ANTARA barang yang dirampas dalam serbuan di stor simpanan 
dadah.
“Khidmat penghantaran dadah bukan saja di ibu negara, malah Johor Bahru dan Pulau Pinang.
“Siasatan awal mendapati sebotol cecair ekstasi dijual antara RM200 dan RM300,” katanya dalam sidang media di IPD Cheras di sini, semalam.

Mohamed Mokhsein berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai boleh dibekalkan kepada 196,800 penagih sekiranya dipasarkan.

“Rampasan itu membabitkan 6,691 gram serbuk ekstasi, 1,802 pil ekstasi, 270,816 gram cecair ekstasi dan 80 batang rokok ganja,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein berkata, operasi khas itu bermula apabila pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai ‘penghantar’ dalam sebuah kereta sebelum pemeriksaan lanjut menemui serbuk ekstasi seberat tiga kilogram.

MOHAMED Mokhsein (tengah) menunjukkan pelbagai dadah 
jenis pil, serbuk, cecair ekstasi dan ganja yang dirampas di IPD 
Cheras, semalam.
“Selepas soal siasat, suspek kemudian membawa polis untuk serbuan kedua jam 1.50 tengah hari di sebuah kondominium kawasan Kajang,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, di unit kondominium kedua itu polis menahan lelaki tempatan berusia 27 tahun dan wanita Thailand berumur 29 tahun dipercayai pasangan kekasih.

“Dalam serbuan ini, sebuah kereta Proton Persona bernilai RM26,300, wang tunai RM4,181 dan sejumlah mata wang asing turut disita,” katanya.

Menurutnya, suspek pertama bekerja sebagai ejen hartanah direman selama enam hari manakala dua lagi suspek ditahan reman selama tujuh hari masing-masing bermula kelmarin.

Tiada ulasan: