HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 Januari 2020

Surat terbuka buat Tun Mahathir

MalaysiaGazette

fadhil
MOHD. FADZIL HASHIM


MOHD FADZIL HASHIM

Surat Terbuka kepada Kepada Ayahanda Tun Mahathir.
Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia.

Assalammualaikum wbt,

Yang dihormati Ayahanda Tun Mahathir,

Nama saya Mohd. Fadzil Hashim (Coach Fadzil) yang merupakan pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Raudhah City dan Malakat Mall beserta 20 lebih syarikat. (Software, Animation, Marketing, Payment Gateway, Construction, Central Kitchen, Media).

Sebagai pejuang ekonomi Islam dan Pendidikan Islam saya ingin memberi buah fikiran dan cadangan kepada Tun bagi menambah baik sistem pendidikan negara tercinta ini.

Terakhir ini kita melihat terlalu banyak kepincangan yang berlaku di kalangan pimpinan masyarakat di negara kita.

Bangsa Melayu sangat terkesan dengan hinaan dan cacian yang dihamburkan tidak henti-henti. Orang Islam dipersalahkan kononnya negara tercinta kini makin lemah ekonominya kerana tidak mahir berbahasa Inggeris.

Saya mohon Tun dan penasihat Tun meneliti pandangan dan cadangan saya. Pasukan saya dari Brainy Bunch bersedia untuk menyumbang tenaga dan idea kami pada bila-bila masa.

Dengan merujuk Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (2013 – 2025) maka cadangan yang berikut diberikan bagi menunjukkan pelaksanaan pada peringkat sekolah mahupun pendidikan tinggi tidak selaras dengan visi dan misi yang ditetapkan.

Justeru berapa banyakpun visi dan misi yang digariskan kerajaan, namun jika pelaksanaannya tidak dipantau atau dikawal selia, maka visi dan misi ini tidak akan tercapai.

Selain itu, visi dan misi yang tidak seimbang yang hanya menekankan kognitif dan meremehkan aspek kemanusiaan, akhlak dan adab akhirnya akan melahirkan generasi yang berilmu tetapi tidak berakhlak.

Kesannya atau impaknya sudah jelas kelihatan kebelakangan. (Petikan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara – Menteri Pendidikan 2013).

Transformasi pendidikan ini bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara kita dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan menangani cabaran abad ke-21.

Dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.

Tidak kurang pentingnya, setiap murid di negara kita perlu diterapkan dengan nilai, etika, dan rasa tanggungjawab sebagai warganegara, agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat untuk diri mereka, keluarga, dan negara, serta berupaya mengharungi dan mengatasi cabaran masa depan.

Kementerian juga akan menyemak semula kurikulum pendidikan untuk menerap dan membangunkan kemahiran abad ke-21, seperti berfikiran kritis dan kreatif, serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang.

Ulasan 1

Pendidikan yang berorientasikan peperiksaan hanya mampu melahirkan generasi muda yang berpengetahuan tetapi tidak mampu berfikir secara kritis dan kreatif, tidak mepunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan kemahiran berkomunikasi yang berkesan pada peringkat global.

Sepanjang pembelajaran, pelajar diuji dari segi pengetahuan melalui peperiksaan tetapi aspek moral, kemanusiaan/ insaniah tidak diuji secara sistematik.

Satu garis panduan yang jelas tidak disediakan sepertimana penilaian akademik dibuat.

Hal ini secara tidak langsung menggambarkan Kementerian Pendidikan tidak serius dalam menjayakan misi yang terkandungan dalam PPPN itu sendiri iaitu bagi membangunkan aspek sahsiah/akhlak pelajar secara holistik.

Justeru peperiksaan pada peringkat rendah dan menengah rendah hendaklah dihapuskan agar tumpuan dapat diberikan pada perkembangan pelajar secara holistik dan bukannya pada kognitif sahaja.

Kegagalan sistem pendidikan dalam membina akhlak dan sahsiah pelajar pada hari ini adalah kerana guru mengejar silibus untuk dihabiskan bagi menyediakan pelajar untuk menduduki peperiksaan.
Akhirnya, aspek akhlak dan adab dikesampingkan.

Peperiksaan awam yang standard bagi menguji atau menilai pelajar bukanlah satu penilaian yang adil.

Pelajar yang tidak cemerlang dalam akademik akan menganggap dirinya sudah gagal kerana sudah dilabel sedemikian rupa oleh sebab keputusan peperiksaannya.

Peperiksaan pada peringkat sekolah rendah dan menengah rendah bukanlah kayu pengukur bagi kejayaan seseorang individu pada masa akan datang (bukti yang ada pada hari ini sudah cukup banyak bagi menyokong pandangan ini).

Pelajar harus diberikan seluas-luas peluang dan ruang untuk mengembangkan bakatnya dan kemahirannya yang ada. Hal ini selaras dengan revolusi industri 4.0 yang menekankan kemahiran bagi menembusi pasaran kerja yang ada.

Kelemahan pendidikan sekarang ialah guru memberikan tumpuan pada pelajar yang berkemahiran tetapi tidak membantu mencungkil bakat dan kemahiran pelajar yang tidak menonjol atau yang tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi di sekolah.

Akhirnya, pelajar ini akan terus terpinggir dan mereka akan mengakui bahawa mereka tidak pandai dan tidak akan berjaya dalam hidup. Bimbingan guru tidak menyeluruh.

Kebelakangan ini kita sering diasak oleh satu demi satu isu yang sengaja diperbesarkan oleh kaum lain (walaupun hal tersebut dapat diselesai dengan sifat toleransi).

Kaum Melayu pula sedang bertahan dan mempertahankan (masih dengan cara yang berhemah – hal ini mungkin kerana kita dididik oleh agama agar bersabar, hormat-menghormati dan tidak membenci antara satu sama lain).

Inilah bukti yang cukup jelas impak kepincangan sistem pendidikan vernakular Malaysia yang terpisah dan tidak berkongsi misi dan visi yang sama khasnya dari segi moral dan tanggung jawab sebagai bangsa Malaysia.

Inilah bukti kegagalan sistem pendidikan negara kita yang tidak dapat memikirkan satu sistem pendidikan yang dapat menyatukan semua anak bangsa. (dalam hal ini tentu saja sekolah agama juga akan dijadikan sasaran sebagai penyumbang kepada polarisasi kaum).

Apabila hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai nilai, etika, dan rasa tanggungjawab sebagai warganegara (melalui pendidikan sekolah kebangsaan) dan pihak yang satu lagi sedang berusaha untuk membina jati diri dengan berkiblatkan negara nenek moyangnya maka satu generasi yang bercanggah dari segi sistem nilai akan terhasil.

Lima Aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia PPPN 2013 -2025 Akses 100 peratus enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang tahun 2020 Kualiti Negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun Ekuiti 50 peratus pengurangan dalam jurang pencapaian (bandar-luar bandar, sosioekonomi, gender) menjelang tahun 2020 Perpaduan Sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian Kecekapan Sistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada.

11 Anjakan Pendidikan Untuk Transformasi Sistem

Anjakan 1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Anjakan 2. Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan.
Anjakan 3. Melahirkan rakyat yang menghayati nilai.
Anjakan 4. Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.
Anjakan 5. Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

Anjakan 6. Mengupayakan JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
Anjakan 7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
Anjakan 8. Mentransformasikan kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian.
Anjakan 9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas.
Anjakan 10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
Anjakan 11 Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

Setelah meneliti PPPN 2013-2025 sebanyak 300 halaman, kesemuanya aspirasi dan anjakan yang digariskan oleh PPPN berdasarkan kajian yang komprehensif yang melibatkan pelbagai pihak pada peringkat antarabangsa dan tempatan dengan perbelanjaan yang cukup tinggi kelihatan sangat inklusif dan sempurna.

Namun aspirasi ini akan hanya tinggal aspirasi jika pelaksanaannya pada semua peringkat pengurusan pendidikan tidak melaksanakannya dengan ikhlas dan bersungguh sungguh.

Ternyata yang menjadi halangan hingga melemahkan sistem pendidikan negara ialah pelaksanaannya, kawal selianya dan birokrasinya.

Maka cadangan yang dikemukakan ini pastinya bukanlah sesuatu yang baharu tetapi sesuatu yang harus benar – benar dilaksanakan.

Jika pemimpin yang mempunyai kuasa yang seharusnya menggunakan kuasanya untuk memastikan pelaksanaan PPPN ini dilaksanakan dengan jayanya dapat memastikan kejayaan ini, maka generasi akan datang tentunya akan berterima kasih pada pemimpin seumpama ini.

Atas dasar keprihatinan terhadap sistem pendidikan negara Malaysia dan atas dasar tanggungjawab terhadap masa depan anak bangsa khususnya dari segi kemenjadian setiap individu dari segi akhlak dan inteleknya, saya merayu agar Yang Amat Berhormat Tun sebagai Menteri Pendidikan Malaysia ke-20 dapat benar-benar membawa sistem pendidikan negara ke landasan yang betul untuk kesekian kalinya.

Bertitik tolak daripada kelemahan pelaksanaan bagi menjayakan aspirasi dan anjakan PPPN, saya mencadangkan sekali lagi kesilapan lalu itu dapat dibaiki bagi perkara yang berikut :
Menghapuskan semua peperiksaan awam kecuali SPM.

KPI sekolah harus menekankan penilaian kemanusiaan/ adab secara holistik (60 peratus) and 40 peratus akademik sahaja.

Pembelajaran awal kanak-kanak diberikan penekanan dan peruntukan yang sewajarnya – perkembangan kognitif dan sahsiah berlaku secara aktif pada umur 1- 6 tahun.

Sekolah- sekolah kebangsaan harus diberikan kuasa autonomi agar sekolah-sekolah dapat merancang, mengurus dan melaksanakan program pendidikan dan pembangunan sekolah dengan mudah tanpa halangan birokrasi PPD dan JPN. (Banyak urusan tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat kerana karenah birokrasi PPD dan JPN. Hal-hal pembangunan dan pelaksanaan program sekolah perlu menunggu kelulusan PPD atau JPN. Sekolah perlu menunggu berbulan-bulan lamanya bagi mendapatkan kelulusan PPD atau JPN dalam banyak hal pengurusan di sekolah.

Pastinya semua pengetua mahu yang terbaik untuk sekolahnya dan hal ini dapat dilaksanakan dengan mudah jika setiap peringkat pengurusan diberikan bidang kuasa yang jelas.

Usaha yang berterusan bagi mengurangkan jurang antara pelajar khususnya yang mempunyai keupayaan kognitif yang rendah/ sosioekonomi yang berbeza/etnik yang berbeza.

Memberikan tanggung jawab kepada ibu bapa bagi membantu kemenjadian anaknya –seperti yang digariskan dalam Anjakan ke -9 dalam transformasi sistem pendidikan memaksimumkan pesara yang berkeupayaan dari segi ilmu dan kemahiran khususnya bagi subjek TVET – memberikan kemahiran dan mencungkil bakat yang ada pada pelajar yang tidak berkeupayaan dalam akademik.

Memberikan kebebasan kepada pelajar untuk belajar kesemua mata pelajaran kecuali bahasa Inggeris dalam bahasa kebangsaan – harus diingat bahawa kemampuan untuk memahami bahasa kedua terutama dari segi penguasaan kosa kata dan struktur ayat yang berbeza adalah berbeza-beza antara individu, ditambah pula dengan latar belakang ekonomi dan sosial yang berbeza ( inilah juga yang diajukan dalam Anjakan 1 – Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa – malangnya kesamarataan akses pada ilmu ini dihalang pula oleh penggunaan bahasa Inggeris yang tidak upaya dikuasai oleh semua pelajar di negara ini.

Dual Language Programme akan hanya melebarkan jurang penguasaan ilmu memandangkan ada sekolah yang mewajibkan semua pelajar mengikuti program ini.

Pendidikan ini seharus tidak memaksa sebaliknya memberikan peluang dan memberikan sebanyak mungkin pilihan yang dapat memenuhi minat dan kebolehan setiap individu yang ingin memajukan potensi dan kemahirannya.

Pelan ‘GAP Mitigation’ harus dibina bagi merapatkan jurang perbezaan pencapaian pelajar yang melibatkan PIBG, NGO masyarakat, kumpulan pesara bagi menyumbang membina modal insan negara.

DANA Sumbangan Pendidikan kepada keluarga MISKIN perlu diwujudkan bagi membantu mereka. (Kerjasama dengan Pusat Zakat, Masjid, NGO dan DANA Sadaqah Strategik perlu diwujudkan)
Transformasi ‘MindSET’ pegawai kementerian pendidikan daripada Pegawai Kerajaan kepada Pejuang Pendidikan Anak Bangsa harus dimulakan.

TERAS pendidikan negara yang membina jati diri bangsa harus menjadi subjek teras kepada semua sekolah swasta dan antarabangsa.

Sejarah sebenar Tanah Melayu wajib di ajar, di fahami dan di hayati di semua peringkat.

Bagi membantu memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris, saya mencadangkan satu hari dipilih sebagai hari bahasa Inggeris dimana semua masyarakat di dala

Solat 5 waktu kepada pelajar Islam wajib di pupuk dari umur 7 tahun bagi membina Muslim yang TAAT kepada ALLAH.

Subjek ‘Memahami dan Menghormati PERBEZAAN AGAMA dan Budaya’ harus di ajar kepada pelajar semua peringkat.

Anak-anak pelajar bukan Islam dan keluarga mereka tidak wajar takut apabila melihat anak-anak Islam solat.

KEMPEN ‘ Sayangi ANAK Malaysia’ perlu menjadi KEMPEN berterusan bagi memperbetulkan kesilapan yang lalu.

Sekolah-sekolah vernakular harus diwajibkan mengadakan program bersama dengan sekolah kebangsaan secara berterusan yang akan memupuk semangat kecintaan sesama warga Malaysia.

Sekiranya masih ada ideologi membina cinta negara nenek moyang mereka, kita wajib sedarkan mereka bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan dan bantu mereka untuk memperbetulkan visi dan misi sekolah mereka selaras dengan dasar pendidikan negara.

POLITIK dan KAPITALIS harus dipisahkan dengan KEMENTERIAN Pendidikan.

Semua TENDER haruslah terbuka dan tidak ada lagi ‘Direct Nego’ bagi mengelakkan ketirisan.
Banyak lagi yang boleh kami cadangkan.

Ayahanda Tun, Tun mungkin tidak lama lagi dengan kita. Gunalah kesempatan ini untuk bertindak secara berani mengubah masa depan negara melalui sistem perlaksanaan ‘right education’ demi negara kita yang tercinta.

Anak Melayu, Cina, India, Orang ASAL adalah aset negara yang mempunyai potensi tinggi jika dapat disatukan jiwanya!

Saya Coach Fadzil dan pasukan kami di Brainy Bunch bersedia membantu Tun pada bila-bila masa.

Yang mencintai Negara Keramat MALAYSIA!

COACH FADZIL
– MalaysiaGazette

*Surat terbuka ini disiarkan di Malakat Tribune dan disiarkan di MalaysiaGazette dengan keizinan.


Tiada ulasan: