Itu jelas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjawab tuduhan kepada parti itu sebagai penyebab kepada keruntuhan kerajaan 22 bulan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Bila masa kita rampas kuasa? Dia yang runtuh… Atuk (Mahathir) yang letak jawatan, parti dalam PH yang berpecah sehingga tidak cukup majoriti untuk jadi kerajaan maka takkan kita mahu biarkan,” ujar bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu ketika berucap merasmikan persidangan serentak cawangan UMNO bahagian Pagoh, Johor hari ini.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, sekiranya PH dibiarkan untuk terus memerintah maka ia pastinya akan mendatangkan kemudaratan yang teruk kepada Melayu Islam dan tanah air.
“Tapi belum sampai PRU-15, nangka yang sepatutnya jatuh pada bulan enam atau lapan sudah jatuh awal… kita tidak buat apa pun tapi bila sudah jatuh takkan kita tidak makan,” katanya.
Disebabkan itu, Mohamad menasihatkan pemimpin UMNO agar berpihak di bumi yang nyata dan tidak harus hilang fokus sebaik mendapat kembali kuasa di Putrajaya.
“Kita kena seiring dan seirama antara yang di atas dan di bawah. Kita memegang dan memikul tangggjawab untuk meneruskan perjuangan memartabatkan Melayu dan tanah air ini jadi mari kita sama-sama pastikan perjuangan ini diteruskan.
“Jadi kerajaan atau tidak itu soal nombor dua kerana apa yang penting kita perbetulkan kesilapan kita… kita tidak patut kalah pada PRU-14 yang lalu tetapi sebab ada yang sudah tidak jejak di bumi nyata, naik jinjang tidak mahu turun-turun maka ia menjadi antara penyebab kita kalah.
“Maka kita susun elok-elok kerajaan yang ada kita dapat semula ini, jangan bermegah dan berkhayal kerana ia boleh jadi tidak lama. Kita gunakan peluang ini sepenuhnya untuk kita perkasakan parti dan untuk kita berhadapan dengan PRU-15, itulah kemenangan mutlak kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan