Nasib
golongan gelandangan tidak dilupakan ketika kerajaan dan kakitangan di
barisan hadapan sibuk menangani penularan wabak Covid-19.
Menerusi pemerhatian Malaysiakini,
aktiviti membantu warga miskin kota dan gelandangan oleh badan bukan
kerajaan (NGO) masih beroperasi tetapi dengan penglibatan sukarelawan
yang minimum.
Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid
berkata, makanan disediakan untuk gelandangan setiap hari setelah
penyelarasan dibuat antara badan-badan amal yang berlainan di sekitar
Kuala Lumpur.
Makanan
dan minuman hanya disediakan dalam bungkusan dan diedar di bawah
seliaan pihak berkuasa bagi mengelakkan orang ramai berkumpul.
Beliau
berkata pihak polis akan memasti individu yang mengambil makanan agar
menjarakkan diri antara satu sama lain bagi mengelakkan penularan virus.
“Polis dan pihak tentera akan kuatkuasakan penjarakan sosial.
“Kami
akan usahakan sama-sama. Kami turut berada di rumah (sewaktu perintah
kawalan pergerakan). Namun kami akan pastikan warga miskin masih
mendapat makanan mereka,” tambahnya.
Menurut Munirah, golongan
miskin beratur dengan jarak dekat apabila mereka mendapatkan makanan di
Medan Tuanku pada Jumaat petang lepas.
Bantuan pihak polis akan memastikan golongan gelandangan menjarakkan diri antara satu sama lain ketika mengambil makanan.
Hal ini katanya, disebabkan ramai yang kelaparan dan risau kehabisan makanan.
Oleh sebab itu, kata Muniarah agak susah bagi sukarelawan menasihati mereka.
Bagaimanapun, beliau percaya keadaan itu akan dapat diperbaiki menerusi bantuan dan seliaan daripada pihak polis.
Sementara
itu, pengasas Dapur Jalanan Mohd Ezzuandi Ngadi, atau lebih dikenali
sebagai Pak Wan, mengesahkan pengagihan makanan percuma mingguan akan
dijalankan seperti biasa.
Jika perlu tempat tinggal
Agihan makanan itu akan dilakukan di Jalan Panggung setelah mendapat kelonggaran daripada pihak Majlis Keselamatan Negara.
“Kami
akan mematuhi arahan yang ditetapkan dan bekerjasama sebaik mungkin
dengan pihak berkuasa terutama untuk mengelakkan komuniti dari berkumpul
pada waktu perkongsian makanan.
“Untuk situasi sekarang, semua
operator akan membungkus makanan dan minuman. Stesen disediakan awal dan
komuniti akan datang and terus ambil.
“Jika datang berkumpulan, mereka akan letakkan kawalan jarak,” katanya.
Beliau
juga menyatakan bahawa Dapur Jalanan akan beroperasi dengan jumlah
sukarelawan yang terhad di mana hanya lebih kurang tujuh anggota yang
mengagihkan makanan berbanding 20 orang pada waktu biasa.
Pengglibatan
sukarelawan kini tidak dibenarkan dan semua anggota sukarelawan perlu
mematuhi tatacara pihak berkuasa dengan tegas, tambahnya.
Ketua
Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Che Asmah Ibrahim
berkata Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan (PTG) Kuala Lumpur
masih beroperasi seperti biasa.
Katanya, golongan gelandangan adalah dialu-alukan untuk datang mendaftar diri sekiranya memerlukan tempat tinggal.
Menurut
Che Asmah, kedua-dua pusat perlindungan ini masih mempunyai lebih
kurang 50 peratus kekosongan katil di mana PTG mempunyai 100 katil dan
40 katil di Anjung Singgah.
Sepanjang perintah kawalan pergerakan,
pusat-pusat tersebut menghentikan segala aktiviti harian dan hanya
membenarkan penghuni berehat dan mengambil makanan, katanya.
“Untuk penghuni, kami akan periksa suhu badan mereka dengan lebih kerap, topeng muka dan sanitiser juga dibekalkan.
“Seandainya
ada yang tidak sihat, kami akan rujuk kepada hospital. Persatuan Bulan
Sabit Merah (PBSM) turut akan ada di sini untuk buat pemeriksaan dan
menyediakan makanan sekiranya tiada NGO yang hantar,” tambahnya.
Bagaimanapun, hanya bungkusan makanan dibenarkan dan agihan akan dikenadalikan pihak Anjung Singgah dan PTG.
Antara
badan amal yang akan menyediakan makanan untuk golongan miskin kota di
sekitar Kuala Lumpur adalah Pertiwi Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen
(KSK), Projek KASEH4U, Kafe Komuniti Pit Stop, KLSCS Street Feeding,
SEED, Street Feeders of KL (SFOKL) dan Dapur Jalanan.
Golongan
tidak bernasib baik itu boleh mendapatkan makanan di beberapa lokasi
seperti Anjung Singgah, PTG, Medan Tuanku, Pit Stop di Jalan Tun HS Lee,
KSK, Kota Raya dan Jalan Panggung.
Dua hari lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, berkata satu mesyuarat khusus akan diadakan bagi membincangkan soal kebajikan gelandangan di Kuala Lumpur sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.
Beliau
berkata hal itu bagi memastikan golongan berkenaan tidak terdedah
dengan penularan wabak Covid-19 lebih-lebih lagi pematuhan terhadap
perintah berkenaan masih di tahap kurang memuaskan.
Kata Annuar,
pihaknya turut mengambil maklum usaha orang awam dan NGO menyantuni
golongan berkenaan, namun dikhuatiri tidak menjarakkan diri (social
distancing) ketika berurusan dengan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan