HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Mac 2020

Salah faham konsep tawakal

DR. AHMAD SANUSI AZMI
 


TERDAPAT di kalangan kita yang berpandangan bahawa tidak mengapa untuk berhimpun dalam perhimpunan raksasa yang melibatkan ribuan jamaah. Kata mereka, mereka lebih takutkan Allah dari virus. Bahkan sifat tawakal yang tinggi menjadikan mereka yakin dengan tindakan yang dilakukan.

Pada hakikatnya, bukan begini sifat tawakal yang dianjurkan oleh Rasulullah. Baginda menasihatkan kita agar berusaha dahulu untuk memelihara sesuatu dahulu sebelum menyerahkan urusan, bertawakal kepada Allah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi, seorang lelaki dikatakan telah datang berjumpa Rasulullah. Lelaki itu turut membawa untanya, lalu dia bertanya:

“Wahai Rasulullah, apakah harus aku membiarkan untaku ini dan bertawakal kepada Allah?”
Rasulullah dengan tenang memberikan jawapan yang jelas dalam sabdanya yang menyebutkan:

“Ikatlah unta itu dan bertawakal kepada Allah.”
 
Saranan Baginda ini nyata mendidik kita bahawa untuk kita memelihara sesuatu, maka usaha yang berpatutan mestilah dilakukan. Dalam situasi hari ini, seharusnya kita berusaha untuk menjaga diri dari sebarang perkara yang boleh menyebabkan kita terjebak kepada wabak penyakit. Setelah segala usaha dijalankan, barulah kita bertawakal kepada Allah.

Panduan yang hampir sama juga pernah dinyatakan oleh Saidina Umar. Al-Imam al-Baihaqi merekodkan kisah bagaimana Saidina Umar menegur sekumpulan manusia dari Yaman yang datang bermusafir tanpa membawa sebarang bekalan. Mereka mendakwa mereka adalah kumpulan manusia yang bertawakal kepada Allah. Umar membantah dengan berkata:

“Kamu bukanlah golongan yang bertawakal tetapi golongan yang membinasakan diri (membiarkan diri binasa kerana tidak berusaha untuk memelihara diri).”
 
Janganlah kita mencemarkan konsep tawakal ini dengan tindakan yang salah. Andai sekiranya kita sendiri tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan, bagaimana mungkin kita mendakwa kita sedang bertawakal kepada Allah sedangkan garis panduan tawakal yang disarankan oleh Rasulullah tidak pula kita patuhi.

Sekiranya diteliti Hadis-hadis Nabi, kita akan dapati bagaimana Rasulullah adalah manusia yang mempunyai strategi dan perancangan yang tersusun dalam merangka kehidupan rakyat. Dalam usaha membangunkan Madinah, Baginda mempunyai pelan tersendiri bagi menjayakan kemajuan sebuah negara.

Begitu juga dalam menangani wabak penyakit, Baginda turut telah memberikan beberapa bimbingan.

Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Baginda pernah menasihatkan setiap Muslim agar mengawal pergerakan mereka. Baginda melarang perjalanan masuk dan keluar dari tempat yang dijangkiti wabak. Hal ini bagi memastikan penularan wabak boleh dikawal.

Begitu juga dengan konsep kuarantin yang boleh difahami dalam Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Baginda memberikan kita satu garis panduan agar mereka yang telah dijangkiti penyakit hendaklah dikuarantinkan. Sabda Rasulullah:

“Janganlah kamu mencampur-adukkan binatang yang sedang menderita ditimpa penyakit dengan haiwan yang masih sihat.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari). 

Andai sekiranya Baginda sendiri telah memberikan beberapa saranan dalam menangani penularan wabak, adalah menjadi satu kewajipan untuk kita menuruti langkah ini.

Setelah semua langkah ini dipatuhi, barulah boleh kita melaksanakan peringkat seterusnya iaitu bertawakal kepada Allah. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya tiada langkah pencegahan diambil, sedangkan kita mendakwa yang kita sedang bertawakal kepada Allah.

Semoga Allah membimbing kita.HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: