HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 April 2020

Cadangan aktiviti sepanjang PKP

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

 

Ratusan episod drama tak sesuai diutamakan individu ada tugasan

1. ANTARA cabaran kita sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah sejauhmana kita mampu memanfaatkan masa sebaiknya di rumah.

Pada hari biasa, kita ke tempat kerja atau belajar. Aktiviti kita ditentukan oleh banyak pihak di luar dari kuasa kita.

Tetapi sepanjang PKP, apabila tiada tugasan diberikan majikan atau aktiviti harian kita selama ini tidak lagi boleh dilakukan kerana PKP, kebijaksanaan kita mengurus masa akan benar-benar teruji dan diperhatikan.

2. PKP akan berlangsung sekurang-kurangnya genap 42 hari atau mungkin lebih dari itu.

Saya ingin mencadangkan terutamanya kepada diri saya sendiri terlebih dahulu, agar semua kita dapat menghasilkan satu hasil sekurang-kurangnya apabila PKP ini selesai.

3. Hasil itu boleh jadi penulisan satu buku, atau kemahiran yang tinggi memasak 20 masakan timur, atau bantuan kemanusiaan kepada 500 keluarga yang terputus rezeki sepanjang PKP.

Ia juga boleh jadi kemahiran profesional bertukang, atau kemahiran bertutur dalam satu bahasa asing, atau pembacaan lima buah buku,

Malah, PKP juga boleh dimanfaatkan dengan penguasaan ilmu baru yang bukan bidang kita, atau penghasilan 2000 siaran bermanfaat dalam media sosial kepada masyarakat atau apa-apa hasil lain yang boleh difikirkan.

4.Hasil itu sudah tentulah bukan menghabiskan lima drama bersiri Korea, atau 20 filem Barat, atau 100 jam berbual-bual dan lain-lain yang hanya membuang masa sebenarnya.

Sekali sekala untuk berehat mungkin sesuai, tetapi menjadikan itu sebagai sasaran, itu agak luar biasa.

5. Jika kita tiada sasaran hasil, dengan mudah kita boleh disibukkan dengan perkara yang zahirnya macam bermanfaat tetapi sebenarnya tidak bermanfaat.

Selepas satu tempoh, akhirnya tidak ada benda baru yang kita dapat selepas PKP.

6. Dalam kehidupan kita ada perkara utama dan ada perkara remeh.

Bagi peniaga makanan, menguasai beratus resepi adalah keutamaan. Tetapi bagi orang lain, mungkin agak remeh dan bukan keutamaan.

Setiap orang jujurlah dengan diri sendiri, kenali siapa kita dan peranan kita, dari situ tentukanlah keutamaan dan fokus.

Bila kita tidak jujur dengan diri sendiri, kita akan mula melakukan perkara yang tidak menjadi keutamaan buat diri kita, tetapi kita hiasi dengan alasan seolah-olah ianya adalah keutamaan.
Lalu kita pun tertipu dan menipu orang sekeliling kita.

7. Ada orang bertanya bagaimana jika seseorang menghabiskan masa menonton ratusan drama Ertugrul sepanjang PKP ini?

Secara jujur saya kongsikan pandangan saya, untuk makcik Kiah yang diceritakan oleh Perdana Menteri kita, mungkin sesuai.

Tetapi, untuk seseorang yang ada tugasan dalam parti atau badan Islam atau dalam jawatankuasa penduduk atau jawatankuasa masjid atau guru-guru yang mendidik atau imam yang menjadi ikutan masyarakat, saya tidak nampak keutamaan untuk mereka menjadikan ratusan siri drama itu sebagai keutamaan untuk dihabiskan sepanjang PKP.

Banyak lagi tugasan yang masih belum selesai. Sekali sekala menonton masih boleh diterima, tetapi menjadikan itu sebagai sasaran, itu saya nampak kurang sesuai.

8. Jika ditanya kepada saya, apa yang saya buat sepanjang PKP, ada beberapa perkara yang saya jadikan sasaran.

Saya segan mahu kongsikan semuanya kecuali satu, iaitu saya berlatih menaip jawi dengan laju.

Saya boleh menaip rumi tanpa melihat papan kekunci, tetapi kemahiran menaip jawi saya amat rendah.

Moga-moga selepas PKP, saya boleh menaip jawi tanpa melihat papan kekunci.

*Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni-Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)


Tiada ulasan: