HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 April 2020

COVID-19: Sistem antarabangsa gagal, realiti dunia mungkin berubah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Kerajaan perlu fikir pelan negara untuk semua sektor mulai sekarang

BANGI – Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman meminta seluruh rakyat bertindak bijak dan peka sepenuhnya terhadap kesan besar pandemik COVID-19.

Bahkan beliau turut menggesa kerajaan memikirkan pelan negara untuk masa depan dalam semua sektor mulai sekarang.

Pemimpin Islam itu berpandangan, realiti dunia mungkin berubah selepas krisis COVID-19 yang mana telah membuktikan kegagalan sistem dan kerjasama komuniti antarabangsa.

“Ternyata wabak COVID-19 bukan suatu yang mudah untuk dihadapi. Kesannya amat besar kepada kehidupan manusia seluruh dunia dan dalam semua sektor.

“Justeru, kita perlu menghadapi dengan bijaksana dan sabar. Kerajaan dan anggota masyarakat serta badan-badan dunia yang terlibat juga perlu berusaha menangani pandemik ini,” katanya kepada Ismaweb hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi dari 15 hingga 28 April ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan melanjutkan PKP bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan memerangi penularan wabak COVID-19.

Beliau menegaskan, langkah itu juga bagi mengelak penularan semula virus dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pelanjutan tempoh PKP itu dibuat berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan pakar perubatan.

Mengulas lanjut, Ustaz Abdullah berkata, ramai di kalangan kita yang tidak faham saiz dan impak wabak COVID-19 ini dengan sebenar-benarnya.

“Lalu sebahagian mereka mengambil mudah terhadap arahan-arahan pihak berkuasa. Kita perlu insaf dengan keagungan Tuhan, banyak-banyak berdoa dan bertaubat dari syirik kebendaan (madiah),” kata beliau.


Tiada ulasan: