MALAYSIAKINI
Kerajaan belum memutuskan sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau sebaliknya selepas tempoh itu tamat pada 14 April depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan untuk meneruskan PKP hanya akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sama ada kita akan teruskan atau tidak PKP kedua ini belum diputuskan tetapi alhamdulillah kalau kita lihat dari laporan KKM trend dari jumlah positif itu tidak menaik tetapi mendatar.
"Kita doakan jika kepatuhan kepada PKP ini diikuti dengan baik, saya percaya bukat setakat mendatar tetapi mungkin akan menurun.
"Jadi, keputusan untuk meneruskan atau tidak akan ditentukan dan diputuskan oleh KKM," katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas kesedian kerajaan untuk meneruskan PKP selepas fasa kedua tamat pada 14 April ini.
Pada mulanya PKP dikuatkuasakan bermula 18 hingga 31 Mac, sebelum dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April.
Malah, perintah itu mungkin akan dilanjutkan sekiranya jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini tidak turun.
Ekoran daripada lanjutan tempoh perintah tersebut, Ismail yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini berkata kini terpulang kepada orang ramai untuk memastikan PKP tidak dilanjutkan.
"Ramai yang tertanya apakah PKP kedua akan dilanjutkan? Adakah pada bulan puasa PKP akan terus dilaksanakan? Bolehkah kita berhari raya dan sebagainya. Saya tahu ramai rakyat ingin kembali kepada kehidupan biasa.
"Yang boleh memastikan tiada PKP ketiga atau keempat, dan membolehkan kita berhari raya seperti biasa, adalah tuan-tuan dan puan-puan sendiri," katanya pada sudang media pada 31 Mac lalu.
Ramadan dijangka bermula pada 23 April, seminggu selepas tempoh PKP fasa kedua tamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan