HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 April 2020

Tiada gaji, makanan bagi sesetengah pekerja asing ketika PKP

Pekerja migran di tempat tinggal mereka dekat Avenue 8 di 
Petaling Jaya.
PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan (PKP) sangat sukar bagi buruh kasar asing, menurut sumber yang bercakap bagi pihak warga Bangladesh dan Filipina.

Ketua komuniti warga pekerja Bangladesh, Abu Hayat dan Wakil pekerja domestik Kedutaan Filipina, Liezel Galdo berkata, ramai pekerja di seluruh negara tidak mempunyai pendapatan dan makanan.

“Majikan tidak membantu mereka,” kata Abu yang menggesa kerajaan memberi bekalan makanan kepada golongan itu.

Pelarian, pekerja migran yang mempunyai dokumen atau sebaliknya boleh ke kemudahan kerajaan untuk menjalani ujian saringan tanpa perlu takut akan dikenakan tindakan undang-undang.

Tetapi, Abu berkata, kerajaan juga patut menyediakan bekalan makanan kepada pekerja asing yang tinggal dalam keadaan sangat kotor tanpa makanan dan barang keperluan lain.

Katanya, pekerja asing tanpa izin paling terjejas kerana “langsung tiada kerja dan mereka tiada wang untuk membeli makanan”.
Kontena dijadikan tempat tinggal sementara untuk pekerja asing 
dekat Hotel Hilton di Petaling Jaya.
Beliau berkata, pekerja binaan – mempunyai dokumen atau tidak – hidup tanpa gaji kerana kerja pembinaan digantung sepanjang PKP.

“Ada yang meminjam wang daripada majikan mereka dan perlu membayar balik selepas mula bekerja semula.

“Jika PKP dilanjutkan, ia akan menyukarkan mereka untuk hidup. Mereka tidak mampu membayar sewa rumah.”

Katanya, mereka yang tinggal dalam keadaan sesak di tapak pembinaan sukar mengekalkan jarak sosial dan amalan kebersihan mencukupi.

“Terdapat 8 hingga 10 orang dalam sebuah bilik.

“Saya bercakap dengan mereka dan mereka kata sukar mengekalkan jarak selamat daripada orang lain dan untuk membersihkan tempat tinggal serta pakaian mereka. Dan mereka menggunakan topeng ketika keluar.”
Pekerja asing mengamalkan jarak sosial 1m ketika berbaris untuk 
menjalani pemeriksaan kesihatan.
Abu berkata, operasi di Kedutaan Bangladesh yang digantung sepanjang PKP, menyukarkan pekerja menerima bantuan daripada konsulat.

“Kedutaan meminta NGO membantu menyediakan barang keperluan kepada pekerja asing yang memerlukan.”

Galdo berkata, Kedutaan Filipina juga ditutup.

Katanya, sekatan di bawah PKP menghalang Kedutaan itu menjalankan misi menyelamat walaupun ia mendapat kes penderaan pembantu rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada peningkatan aduan sejak PKP dilaksanakan.

Beliau mengadu ada kalangan pembantu rumah yang tinggal bersama majikan dipaksa bekerja lebih masa dan pada hari cuti mereka tanpa sebarang pampasan.

“Walaupun mereka tidak boleh keluar, mereka masih perlu mempunyai hari cuti.”
Pekerja asing menunggu bekalan makanan diagihkan kepada mereka.
Bagaimanapun, katanya, pembantu rumah bebas yang tidak tinggal bersama majikan menderita kerana kehilangan punca pendapatan.

“Mereka takut hendak keluar. Mereka hanya tinggal dalam pangsapuri mereka. Kami terima banyak aduan mereka tiada bekalan makanan sekarang.”

Beliau bimbang NGO yang biasanya mengagihkan makanan dan barang keperluan asas kepada golongan memerlukan mungkin tidak dapat menghantar bekalan kepada mereka kerana sekatan lebih ketat di bawah fasa ke-2 PKP.

Baru-baru ini, Putrajaya membenarkan NGO mengedarkan makanan kepada kumpulan sasar mereka sepanjang PKP, tetapi ada garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi, termasuk memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri sehari lebih awal.

Hanya 2 ahli daripada setiap NGO dibenar mengagihkan bekalan itu dengan ditemani seorang anggota Rela atau Angkatan Pertahanan Awam.

Tiada ulasan: