Ketika
saya menulis ini kita - anak semua bangsa warga Malaysia - telah
selesai berkhalwat selama dua minggu. Kementerian Kesehatan dan Majlis
Keselamatan Negara telah memberi arahan untuk menyambung masa
berkhalwat hingga 14 April 2020.
Serangan Spanish Flu (1918-1920) ketika Perang Dunia Pertama hanya merebak di Eropah dan Amerika Syarikat. Hari ini Covid-19 rancak berjalan merebak ke seluruh dunia. Di mana ada internet di situ ada virus korona.
Pada 1 April 2020 Tuan Bob Weighton dari Hampshire United Kingdom telah dinobatkan oleh Guinness penyimpan rekod dunia sebagai sosok lelaki tertua dalam dunia. Dua hari dahulu Bob menyambut hari jadi ke 112.
Bob menyambut hari jadinya seorang diri. Ini kerana di UK perintah berkhalwat sedang berjalan.
"Terlalu ganjil… saya pernah mengalami pelbagai penyakit.. tapi virus korona ini amat amat berlainan.
Inilah hakikat dunia kita hari ini. Kita anak semua bangsa warga Malaysia bukan bersendirian. Seluruh dunia sedang dalam keadaan yang sama.
Lebih hodoh dari perang
Kita semua umat manusia tidak memiliki pengalaman dalam memerangi virus halimunan ini. Apa yang kita ada ialah pengalaman yang lalu.
Di Malaysia kita tidak ada kebakaran besar, dilanggar ribut taufan, ledakan gunung berapi atau malapetaka alam. Banjir kita pun 'macam air kolam naik melempah' (jika hendak dibandingkan dengan bah di tempat lain). Itu pun sekali-sekala saja di Kelantan kerana pembalakan.
Ketika
Perang Dunia Kedua (1941-1945), Tanah Melayu ditadbir oleh Inggeris.
Kita hanya ada pengalaman dalam tragedi 13 Mei. Ini kita anggap krisis
paling besar dalam sejarah tanah air sesudah Inggeris balik kampung.
Jika dibandingkan 13 Mei dengan Covid-19, maka 13 Mei ini macam kita pergi beratur membeli goreng pisang raja di Brickfields.
Anak semua bangsa warga Malaysia sedar bahawa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin yang baru terdiri ini masih goyah dan belum stabil. Ketika virus korona mula muncul di Wuhan akhir tahun lalu, kita di Malaysia sedang berhadapan dengan krisis politik.
Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncuya sedang mengasak Mahathir untuk berundur. Krisis politik ini berakhir dengan kerajaan baru.
Belum sempat kerajaan baru mengembang sayap dan mengenap muncul virus korona. Kini kerajaan Muhyiddin sedang berhadapan dengan Covid-19.
Belum ada pungutan suara atau kajian dilakukan secara ilmiah. Tapi daripada pemerhatian saya dan daripada pembacaan tidak salah jika saya katakan bahawa pada ketika ini negara boleh dikatakan terpecah dua. Satu kumpulan menyokong Pakatan Harapan dan satu lagi menyokong Perikatan Nasional.
Tulisan ini bertujuan untuk kita bersama menggunakan pengalaman yang ada pada kita untuk berhadapan dengan musuh baru. Kita berupaya melihat, meminjam, meniru pengalaman negara lain untuk mengalahkan musuh kita yang lebih besar bernama Novel Coronavirus.
Kerajaan dan politikus di mana-mana dalam dunia ini dikenali sebagai kaki putar. Dalam apa jenis parti pun politikus adalah kaki putar numero uno.
Ini muncul hasil dari sistem mencari undi terbanyak untuk menang dan mendapat kerusi menjadi Adun atau anggota parlimen. Pari Islam ke, parti kapir ke - semua sama. Dalam sistem pilihan raya meraih undi – nabi dan wali yang membawa kebenaran pun akan dikalahkan oleh politikus putar alam. Khalas.
Bukan perkara air suam
Walaupu sedemikian saya masih yakin, saya akan berusaha untuk menyedarkan diri mereka. Ini kerana kita sedang berhadapan dengan virus halimuan.
Saya mahu menyedarkan mereka agar bercakap benar. Bercakap apa yang mereka betul-betul fahami, hayati dan yakini. Bercakap perkara yang ilmiah bukan perkara-perkara air suam. Bercakap jujur dan bercakap benar amat penting dalam usaha kita melawan Covid-19.
Menteri Perumahan YB Zuraidah tidak perlu membungkus diri menjadi macam hantu pocong untuk membuktikan kepada rakyat bahawa dirinya prihatin terhadap kesusahan rakyat. Menteri tak perlu menonjolkan diri melawan korona.
Menteri Ismail Sabri wajib sedar bahawa bulan puasa atau hari raya bukan terletak di tangan Menteri Pertahanan. Pak Menteri dalam negara mana, menganut apa agama pun tidak boleh mengugut untuk membatalkan Hari Raya kerana ada sosok ingkar tidak duduk di rumah ketika larangan dikuatkuasakan. Hampeh.
Parti United Malays National Organisation Johor Bahru tidak seharusnya menjadi tauke memonopoli dan menjaja kebaikan melalui agihan makanan untuk orang ramai yang memerlukan. Memonopoli membuat kebaika menjadikan parti DAP kecewa kerana parti ini juga mahu membuat amal jariah.
Memonopoli jalan ke parlimen opps… silap… memonopoli berbuat baik ini akan membawa mudarat kepada orang ramai yang sedang memerlukan bekalan makanan. United Malays National Organisation masih tebal degan perangai lama. Gerombolan ini tidak sedar bahawa rakyat terputus bahan makanan kerana arahan berkurung. Rakyat tak kira siapa yang hantar. Yang penting makanan sampai.
Inilah contoh beberapa kisah bangang lagi bebal yang dilakukan oleh politikus kita dalam masa dua minggu kita berkhalwat.
Hendaknya jangan satu hari nanti kita terbaca kertas kerja Tuan Ibrahim Tuan Mat bertajuk: The Effect of Global Warming and the Emergence of Nova Virus.
Kertas kerja ini pula akan disampaikan pada Persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di PBB. Ya ampon – siah palih. Janganlah jangan.
Sebelum buka mulut
Ketika ini dengan media baru dan media sosial sesiapa sahaja boleh bergebang, boleh memiliki stesen TV, stesen radio, membaca warta berita, bertik tok tanpa ada halangan. Justeru dalam suasana memerangi virus ini sebelum membuka mulut fikir dahulu.
Sebelum berwhats app fikir dahulu. Setelah mengetik punat komputer baca sekali lagi. Ulang baca dan tanya diri – apakah apa yang aku tulis ini benar dan membawa kebaikan. Atau menambah keresahan dalam keadaan yang sedia resah.
Kunci di sini ialah diyakini. Bila saya munculkan kata kunci ini maka kita akan kembali kepada keadaan politik yang sedia wujud. Apa yang saya katakan awal tadi bahawa negara kita pada ketika ini terpecah kepada dua bahagian. Satu dengan Pakatan Harapan dan satu lagi dengan Perikatan Nasional.
Jangan hendaknya apa saja yang dituturkan oleh pemimpin Perikatan Nasional akan dianggap haprak. Wajib diperlekeh. Dalam masa yang sama apa sahaja yang diucapkan oleh pemimpin Pakatan Harapan dianggap ucapan gila talak.
Jika ini berlaku maka segala usaha kita untuk melawan musuh nan satu akan gagal.
Wajib saya usik sedikit di sini. Apa yang sedang kita lihat dan alami sekarang hanya permulaan.
Kalau dalam panggung wayang ini 15 minit pertama. Kita sedang menonton iklan. Clint Eastwod dan Brad Pitt belum muncul. Cerita sebenar belum bermula.
Aduh! Kalau iklan pun sudah teruk bagaimana agaknya apabila wayang bermula. Justeru sebelum wayang bermula ketika kita menonton iklan maka saya mencadangkan agar kita semua bersikap jujur, ikhlas dan bercakap benar.
Politikus sila ubah perangai. Dalam masa yang sama anak semua bangsa yang terbahagi kepada dua wajib sedar bahawa virus ini tidak kenal PH atau PN. Korona akan sapu kiri dan kanan. Kita semua dalam satu kancah. Hidup kita bersama. Mati kita pun bersama.
Bila agaknya iklan akan selesai dan wayang bermula? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan