Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus, ini adalah akibat kelembapan permintaan global, gangguan rangkaian bekalan dan langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang diambil kerajaan Malaysia dan antarabangsa.
“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dan langkah-langkah mempromosikan penjarakan sosial boleh menjejaskan aktiviti ekonomi namun ia merupakan langkah perlu bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
“Dengan itu, dua pakej rangsangan iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat serta langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak bank tempatan dijangka mampu mengurangkan impak ekonomi akibat wabak tersebut.
“Langkah-langkah fiskal itu bakal memberikan sokongan yang besar kepada isi rumah dan perniagaan,” katanya semasa sidang video membentangkan Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 serta Laporan Tahun BNM 2019 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019.
Tambah Nor Shamsiah, langkah-langkah yang telah diperkenalkan kerajaan dan bank-bank itu dijangka menambah 2.8 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK tahun ini.
Selain itu, projek-projek infrastruktur berskala besar dijangka turut menokok satu mata peratusan kepada pertumbuhan negara pada 2020.
Tambahnya, bank pusat itu akan sentiasa memantau dan menilai perkembangan pandemik yang melanda dunia itu serta impaknya terhadap ekonomi.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan