HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 Julai 2020

Betulkan ekonomi dulu sebelum berpilihan raya, saran penganalisis

Azizuddin Mohd Sani berkata tidak wajar mengadakan pilihan raya ketika ekonomi
diramalkan masih lemah.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis mencadangkan Perikatan Nasional tunggu sehingga ekonomi semakin cepat memulih sebelum membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum, dan menambah gabungan itu juga masih perlu selesaikan agihan kerusi bagi mengelakkan pengkhianatan di saat akhir.

Azizuddin Mohd Sani, seorang profesor di Universiti Utara Malaysia, berkata mungkin terlalu awal untuk membubarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tahun ini kerana ekonomi diramalkan masih lemah.

Beliau juga menginatkan jangan ambil mudah hal agihan kerusi.

“Kalau terburu-buru, pemimpin Umno mungkin akan boikot PN kerana tak dapat kerusi secukupnya,” katanya kepada FMt


Azizuddin Mohd Sani

Umno dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional membentuk blok terbesar dalam PN dengan 43 kerusi. PPBM mempunyai 32 kerusi, PAS 18 kerusi, dan GPS 18 kerusi, serta 3 kerusi parti kecil lain.

Bagaimanapun, Umno dan PAS juga membentuk Muafakat Nasional yang mempunyai 61 kerusi.

Azizuddin berkata Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri, tidak boleh ambil mudah hal agihan kerusi kerana Muafakat Nasional boleh bertindak balas atau meninggalkan PN pada saat-saat akhir.

“Mereka mungkin boikot kalau hal kerusi ini tidak ditangani dengan baik,” katanya, dan menambah Umno tahu ia ada sokongan daripada pengikut setianya semasa pilihan raya.

Beliau percaya PN mungkin perlukan sekurang-kurangnya 6 bulan untuk selesaikan perincian isu berbangkit dan memastikan rakyat merasai manfaat dasar ekonominya.

Jangkaan terhadap pilihan raya awal muncul pada 5 Julai apabila Menteri Kanan Azmin Ali berkata kerajaan mungkin mengadakan pilihan raya kilat tahun ini atau tahun depan, selepas berjaya mengatasi krisis kesihatan awam, ekonomi, dan politik.

Azizuddin berkata Pakatan Harapan pula perlu menawan hati pengundi Melayu, menyarankan ia bekerjasama dengan parti yang mempunyai sokongan orang Melayu yang kuat.

Bagaimanapun, beliau berkata peluangnya nipis kerana PKR adalah parti pelbagai kaum dan masyarakat Melayu belum terima DAP, semantara Amanah pula tiada sokongan akar umbi sepertimana Muafakat Nasional.

Seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi berkata, Azmin tidak boleh terlalu yakin dengan pencapaian gabungan berusia 4 bulan itu.

Beliau berkata PN mesti dapatkan kepercayaan rakyat dan pastikan kumpulan sasaran dapat manfaat daripada pakej rangsangan.

Beliau menambah PPBM mungkin perlu bergerak sendirian jika Umno dan PAS tarik diri apabila Parlimen dibubarkan.

“Pada saat-saat akhir, apa sahaja boleh berlaku,” katanya. “Mereka boleh minta calon Muafakat Nasional dinamakan untuk jawatan perdana menteri dan timbalan, seperti mana yang berlaku pada Februari dengan Langkah Sheraton yang menyaksikan Muhyiddin menjadi perdana menteri.”

Beliau berkata golongan muda di kawasan bandar mungkin mahu mandat diserahkan kepada pentadbiran lepas dan tidak akan mengundi PN sebagai membantah Langkah Sheraton.

Tiada ulasan: