HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 Julai 2020

Pertimbang semula cuti sekolah sempena Aidiladha – CUEPACS

Kumara Sabapatty
MGF01052020_TOKOH-KERJA-CUEPACS01-1-681x454
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon Kementerian Pendidikan mempertimbangkan semula tarikh cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut umat Islam pada 31 Julai ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia penting untuk membolehkan orang ramai dan penjawat awam, terutama yang bekerja di perantauan, dapat menyambutnya di kampung halaman masing-masing.

Hari Raya Aidiladha sebelum ini jatuh pada minggu cuti sekolah pertengahan penggal kedua iaitu 25 Julai hingga 2 Ogos (Kumpulan B) dan 24 Julai hingga 1 Ogos (Kumpulan A).

“Bagaimanapun rombakan dalam Takwim Persekolahan 2020 yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan menjadikan Hari Raya Aidiladha jatuh pada minggu persekolahan biasa.

“CUEPACS menerima aduan terdapat ramai penjawat awam serta pekerja di sektor swasta bekerja di Sabah dan Sarawak telah menempah lebih awal tiket penerbangan mereka untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidiladha.

“Begitu juga dengan penjawat awam dan pekerja sektor swasta yang berasal dari Sabah dan Sarawak tetapi bekerja di Semenanjung turut menempah tiket penerbangan awal untuk pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau. tempahan awal dilakukan bagi membolehkan mereka menikmati tiket penerbangan yang lebih murah berbanding tempahan pada saat akhir.

Justeru katanya, kebanyakan rakyat sebelum ini tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung berikutan sekatan perjalanan merentas negeri ekoran pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Adnan berkata, CUEPACS juga difahamkan Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk meminda takwim persekolahan sebelum ini dan bercadang untuk menggunakan takwim lama.

“Bagaimanapun Kementerian secara tiba-tiba telah memperkenalkan takwim yang baru. Kebanyakan rakyat Malaysia terutama mereka yang tinggal jauh dari kampung halaman masing-masing telah melakukan perancangan lebih awal berdasarkan cuti persekolahan negara.

“Perubahan takwim persekolahan sudah tentu telah menyebabkan perancangan orang ramai terkesan dan pening bagi merancang semula percutian terutama melibatkan pembelian tiket penerbangan.

“CUEPACS berharap agar Kementerian Pendidikan dapat mempertimbangkan untuk memberikan cuti khas persekolahan bagi perayaan Aidiladha.

“CUEPACS mencadangkan agar 30 Julai dan 3 Ogos dijadikan cuti khas dan cuti pelepasan untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri. Pemberian cuti khas dan cuti pelepasan ini juga memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai, penjawat awam dan para guru yang bergantung sepenuhnya kepada cuti persekolahan untuk bercuti terutama bagi yang mempunyai anak-anak bersekolah,” ujar beliau.

Walaupun guru-guru mempunyai Cuti Rehat Khas, kata Adnan sudah pasti ia sukar untuk diluluskan oleh Ketua Jabatan masing-masing memandangkan sesi persekolahan yang berlangsung seperti biasa.

“Ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah juga boleh mengambil peluang untuk sama-sama meraikan perayaan di kampung halaman masing-masing dan diharap kerajaan mempertimbangkan semula cuti sekolah semasa Aidiladha,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: