HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Januari 2021

Adakah pendaftaran Pejuang akan burukkan lagi COVID-19 di negara ini? - Tun M

Firdaus Azil
Adakah pendaftaran Pejuang akan burukkan lagi COVID-19 di negara ini?  - Tun M
Tun M berkata, apa yang Muhyiddin lakukan sama dengan apa yang beliau 
tuduh Najib lakukan PRU lepas, menghalang pendaftaran parti politik
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, dengan sinis mempersoalkan adakah pendaftaran parti itu boleh menyebabkan pandemik COVID-19 menjadi semakin buruk di negara ini.
 
Ahli Parlimen Langkawi itu turut mempersoalkan, adakah kerajaan terlampau sibuk menangani COVID-19 sehingga tidak mempunyai masa langsung untuk lain-lain urusan, atau itu sekadar cara untuk memastikan tiada pencabar dalam pilihan raya kelak.
 
Beliau melontarkan persoalan itu setelah urusan pendaftaran Pejuang sehingga hari ini belum berjaya, dan tiada jawapan diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), mahupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin .
 
“Para pemimpin Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dalam kerajaan perlu tahu, sehari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, pendaftaran parti itu telah dibatalkan. Perdana Menteri yang ketika itu merupakan Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sangat marah, dan merasakan ia merupakan taktik kotor kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
“Kini beliau berada dalam kerajaan yang mempunyai kuasa daripada Proklamasi Darurat, beliau membuat perkara yang sama dengan apa yang beliau kritik Najib ketika itu,” katanya lagi.
 
Pada 7 Januari lepas, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menganggap tindakan RoS menolak pendaftaran parti itu, merupakan satu keputusan politik, kerana mendakwa alasan jabatan itu tidak masuk akal.
 
BACA: Tindakan RoS tidak boleh diterima - Anwar
BACA: Langkah tolak pendaftaran Pejuang berunsur politik - Mukhriz 
 
Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, beliau berasakan Hamzah, yang juga Setiausaha Agung Bersatu menganggap Pejuang merupakan ancaman besar kepada parti tonggak Perikatan Nasional (PN) itu.
 
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dilaporkan berkata tindakan RoS yang menolak pendaftaran Pejuang dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), seolah-olah menunjukkan ia adalah alat politik dan mudah dimanipulasi kerajaan pemerintah.

Tiada ulasan: