Hasimi Muhamad
Datuk
Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman demi pengumuman yang
dibuat oleh
kerajaan seperti tidak ada perancangan awal selain sering
tidak jelas. -
Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin
Yassin digambarkan seolah-olah tidak mampu memberi sebarang keyakinan,
apatah lagi menjanjikan masa depan yang lebih baik, ketika negara masih
bergelut mengekang pandemik COVID-19.
Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengumuman demi
pengumuman yang dibuat oleh kerajaan seperti tidak ada perancangan awal
selain sering tidak jelas.
Tindakan Muhyiddin, tegas ahli Parlimen Port Dickson itu telah meletakkan negara ini dalam lembah percanggahan.
"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi acara tahunan yang sia-sia tanpa sebarang makna dan hasil.
"Apa yang kelihatan seolah bersyarat, namun nampaknya semacam akan kekal. Cakap-cakap tentang pemulihan ternyata omong kosong.
"Jadinya,
kita sekarang ini kembali ke peringkat asal. Mula balik. Ini
mengingatkan saya kepada apa yang pernah diungkap Albert Einstein,
“adalah sesuatu yang gila untuk mengulangi perkara yang sama sambil
mengharapkan hasil yang berbeda”," katanya dalam kenyataan yang dimuat
naik di laman Facebook, pada Ahad.
Dakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, kepimpinan Perdana Menteri turut meletakkan negara ini di lembah kegilaan.
Jelas
Anwar, kerajaan sepatutnya membantu rakyat untuk kembali percaya kepada
kemampuan masing-masing selain mencipta kekuatan baharu dalam
mengharungi kemelut ini sebagai bangsa yang bersatu padu.
"Malaysia patutnya telah berjaya, apa yang disebut sebagai “flattening the curve” atau melandaikan lekuk dan menjadi antara negara yang berjaya menundukkan COVID-19.
"Sebaliknya,
kerajaan ini terus menyusah dan membodohkan rakyat. Kerajaan hari ini
anggap rakyat seperti kanak-kanak. Tidak, rakyat di negara inilah yang
memungkinkan sebuah tatanan bernama Malaysia.
"Sekiranya
kerajaan ini tidak mampu percaya pada rakyat dan yakin pada rakyat,
bagaimana mungkin mereka harapkan perkara yang sama? Apatah lagi untuk
patuh prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa berubah setiap
masa," tambah Anwar.
Selain itu, Anwar turut menegaskan kerajaan PN semakin hilang wibawa dan keyakinan, sehingga menyukar untuk ia dipulihkan.
"Langkah
mengisytiharkan darurat tampak terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas
yang kukuh, langsung melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.
"Muhyiddin minta kita percaya beliau tatkala kediktatoran beliau semakin menonjol.
"Keyakinan terhadap kepimpinan beliau juga semakin merosot tatkala seorang demi seorang Ahli Parlimen menarik sokongan.
"Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini?" soal beliau lagi.
Sehubungan
itu, Anwar berkata, pengisytiharan darurat disifatkan seperti tidak ada
kaitan dengan usaha dan upaya negara melawan impak COVID-19.
"Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar jangan putus asa.
"Negara
ini negara yang istimewa, punya pelbagai kaum dan agama, dan saya yakin
ini adalah ciri yang terbaik yang kita ada," katanya.
Terdahulu,
Anwar mencadangkan semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang
di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda membatalkan Proklamasi
Darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Pada
12 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau suatu
tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat
dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan