PETALING JAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang ditangguhkan ke Februari, sewajarnya dibatalkan saja, kata Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
Sebaliknya, Chong berkata, sijil patut dikeluarkan untuk pelajar berdasarkan penilaian guru terhadap keputusan ujian terdahulu, peperiksaan percubaan, dan kerja kursus.
Menurutnya, beliau sudah menghantar surat rayuan kepada Menteri Pendidikan, Radzi Jidin, mengenai cadangan itu.
Chong berkata, memandangkan kes harian COVID-19 menunjukkan empat angka setiap hari, selain pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKPP), kemungkinan besar peperiksaan SPM tidak boleh diadakan dalam suku tahun pertama.
Penantian untuk peperiksaan sebegitu pasti memberi tekanan terhadap pelajar, menjejaskan produktiviti, malah menyebabkan pendidikan mereka terus tertangguh,” katanya dalam kenyataan.
“Demi pelajar ini, saya berharap menteri pendidikan akan membuat keputusan segera supaya mereka dapat menamatkan penantian yang lama dan memberikan tekanan itu.”
Semua peperiksaan utama ditangguhkan tahun lalu akibat gelombang ketiga jangkitan COVID-19 selain perintah kawalan pergerakan di pelbagai negeri.
SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) buat masa ini dijadualkan bermula pada 22 Feb, manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ditetapkan pada 8 Mac.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan