HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Januari 2021

Pertemuan khas ketua bahagian UMNO esok

KUALA LUMPUR: UMNO akan mengadakan pertemuan khas bersama ketua bahagian parti itu, pagi esok bagi membincangkan usul menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sumber UMNO yang dihubungi mengesahkan pertemuan berkenaan yang akan diadakan di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn di sini, pada jam 11 pagi esok.

"Ya esok ada perjumpaan ketua bahagian di ibu pejabat," katanya ringkas ketika dihubungi malam ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengetuai pertemuan itu, antara lain bagi mendapatkan penjelasan lanjut dari pemimpin UMNO bahagian berhubung pendirian mereka menolak kerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) semalam memaklumkan 143 bahagian parti itu mengemukakan usul menolak kerjasama dengan BERSATU.

Sementara itu, sumber UMNO itu turut memaklumkan, selepas pertemuan dengan ketua-ketua bahagian, UMNO akan mengadakan mesyuarat Biro Politik pada petang Rabu.

"Malam itu (Rabu) akan disusuli pula dengan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO," katanya turut memaklumkan antara intipati yang dibincang dalam mesyuarat itu adalah berkaitan penganjuran Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual hujung bulan ini.

UMNO mengadakan mesyuarat bahagian yang berlangsung serentak di seluruh negara pada Jumaat hingga Ahad lalu, dengan sebahagian besar bahagian termasuk sayap parti itu mengusulkan supaya UMNO menolak kerjasama dengan BERSATU dalam PRU ke-15.

Selain usul itu, beberapa bahagian UMNO juga menggesa supaya PRU segera diadakan bagi mengembalikan kestabilan politik negara.

Usul itu hadir ketika BN dan Parikatan Nasional (PN) kini sedang merundingkan berkenaan agihan kerusi dalam PRU, yang dijangka diadakan sebaik pendemik COVID-19 reda.

Tiada ulasan: