HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Januari 2021

Biarlah adil, kata SUHAKAM selepas JPPM tolak pendaftaran Pejuang, Muda

SUHAKAM mahu Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula.

PETALING JAYA: Sebuah badan hak asasi manusia menggesa Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) “menjalankan fungsi dan tugasnya berdasarkan pendekatan yang adil” susulan permohonan pendaftaran dua parti pembangkang, Pejuang dan Muda ditolak tanpa diberikan alasan.

Pejuang dipimpin bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad manakala Muda diketuai bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam kenyataan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata pihaknya bimbang mengenai penolakan pendaftaran kedua-dua parti itu dan meminta Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula.

Katanya, ini kerana akta itu mengandungi peruntukan yang boleh dianggap tidak selaras dengan prinsip hak asasi manusia terutama hak berpersatuan seperti yang dijamin bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

SUHAKAM berkata, pihaknya sebelum ini mengesyorkan pembaharuan dibuat terhadap Akta Pertubuhan termasuk kajian semula terhadap budi bicara mutlak Kementerian Dalam Negeri untuk mengisytiharkan suatu pertubuhan itu sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan peruntukan tempoh masa yang tertentu untuk JPPM membuat keputusan terhadap suatu permohonan pendaftaran.

Pembaharuan lain disarankan termasuk mewajibkan JPPM memberikan alasan bagi penolakan atau tidak memberi maklum balas terhadap permohonan pendaftaran pertubuhan.

“Selain daripada syor dinyatakan di atas, SUHAKAM mencadangkan agar pendaftaran pertubuhan termasuk parti politik ditadbir urus oleh entiti bebas dan bukan jabatan kerajaan.

“Ini akan turut menjamin kesaksamaan dan sifat berkecuali dalam tadbir urus hal
ehwal berkaitan pendaftaran pertubuhan.”

Buat masa ini, SUHAKAM berkata tindakan JPPM perlu menggunakan pendekatan yang adil dan selaras dengan hak asasi manusia.

Semalam, Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau menyeru supaya undang-undang diubah untuk mengekang kuasa JPPM terhadap pendaftaran parti politik, yang mencadangkan peranan itu diambil alih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau turut menyebut bekas kerajaan Pakatan Harapan, yang dipimpin Mahathir, gagal menjadikan JPPM bebas daripada kawalan politik sebaliknya hanya menyingkirkan ketuanya sebelum ini.

Tiada ulasan: