HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Januari 2021

Umno digesa biar mahkamah selesai ‘kes panas’ babit pemimpin parti.


PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata Umno perlu membiarkan kes mahkamah yang melibatkan pemimpin parti itu diselesaikan sewajarnya menurut proses undang-undang, bukannya menggesa tuduhan digugurkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, percubaan sedemikian boleh merosakkan reputasi Umno dalam kalangan penyokongnya sendiri.

“Biarkan mahkamah putuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan sama ada mereka berada dalam kerajaan atau pembangkang.

“Kerajaan PN dan masyarakat sivil perlu memastikan tiada campur tangan dalam mana-mana kes mahkamah,” kata Awang Azman kepada FMT.

Kes terhadap pemimpin dan ahli parti tertentu dikatakan antara sebab ketidakpuasan hati Umno terhadap kerajaan PN seperti yang disuarakan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Ahmad Maslan.

Awang Azman Pawi.

Namun Awang Azman berkata, kes berprofil tinggi terbabit bukanlah satu-satunya sebab Umno membuat ancaman untuk menarik sokongan kepada PN, tindakan yang akan menyebabkan kerajaan sekarang tumbang.

Beliau berkata, setiap pemimpin parti mungkin mempunyai naratif mereka sendiri.

Namun Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata, kenyataan Ahmad Maslan tidak mungkin menjejaskan penyokong Umno, yang menurutnya mungkin menganggap kes terbabit sebagai isu pendakwaan politik.

Beliau berkata, wujud putus hubungan antara orang Melayu konservatif dan penduduk bandar yang lebih progresif berhubung pendakwaan tersebut, dengan kumpulan kedua melihat kes berkenaan penting bagi memulihkan integriti kerajaan.

“Tetapi kerana Umno memperoleh kekuatan elektoral utamanya daripada kumpulan pertama, maka Ahmad Maslan hanya mengikut rentak sebilangan besar penyokong Umno, selain berusaha menyelamatkan dirinya sendiri.

Oh Ei Sun.

“Dari sudut itu, jika PPBM serius untuk mengekalkan Umno dalam gabungan kerajaan, maka ia tiada pilihan selain memenuhi kehendak parti itu, termasuk menggugurkan tuduhan terhadap pemimpin utamanya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PPBM tidak akan mengalami kesan negatif politik dengan berbuat demikian kerana parti itu sudah hilang sokongan pengundi lebih progresif berikutan Langkah Sheraton awal tahun lalu.

“PPBM dan seluruh gabungan pemerintah sekarang perlu menarik pengundi konservatif yang lebih besar jumlahnya, yang sebenarnya akan menyambut baik pengguguran pendakwaan itu yang anggap bermotif politik,” katanya.

Bekas perdana menteri, Najib Razak, mempertahankan kenyataan Ahmad itu, sebagai wajar kerana keengganan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membetulkan salah guna kuasa Pakatan Harapan, malah sendiri bersikap pilih kasih berhubung kes-kes mahkamah itu.

Najib berkata paling ketara adalah tidak ada tindakan mahkamah dikenakan terhadap pemimpin Umno yang menerima dana daripada beliau selepas mereka keluar Umno dan menyertai PPBM.

Antara mereka adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed.

Najib berkata mereka yang terus bersama Umno, seperti Ahmad dan Shahrir Samad diheret ke mahkmah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata Ahmad hanya merujuk secara spesifik kepada 121 kes lucut hak serta kompaun melibatkan 41 pihak yang disita dan 80 orang yang dikompaun kerana menerima wang daripada beliau sebelum PRU14.

Komen Ahmad Maslan ditimbulkan oleh bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa, yang digantikan baru-baru ini, dengan berkata, ia membuktikan bahawa potensi perpecahan Umno dengan PPBM bukan disebabkan persoalan dasar atau perkhidmatan kepada rakyat.

Namun Annuar mendapat kecaman beberapa hari menjelang penyingkirannya, dengan Ahli Parlimen Ketereh itu dilihat mesra PN.

Nasib kerajaan PN terus goyah selepas sebahagian besar daripada 191 bahagian Umno meminta parti itu menarik balik kerjasamanya dengan PPBM.

Majlis Kerja Tertinggi Umno, yang bermesyuarat pada Rabu lepas menangguhkan keputusan mengenai sokongannya kepada PPBM ke perhimpunan agung tahunannya yang dijadualkan diadakan pada 31 Jan.

Tiada ulasan: