HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Januari 2021

Cabar proklamasi darurat bukti Anwar utamakan politik peribadi - MPT Bersatu

Astro Awani
Cabar proklamasi darurat bukti Anwar utamakan politik peribadi - MPT Bersatu
Kata Mohd Rafiq, tindakan Anwar seolah-olah menggambarkan beliau 
tidak hormat terhadap keputusan yang dibuat Yang diPertuan Agong dalam usaha negara untuk mengekang penularan COVID-19. - Foto Facebook
 
 
KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mencabar proklamasi darurat melalui mahkamah jelas memperlihatkan sikapnya yang lebih mementingkan agenda politik peribadi berbanding kepentingan rakyat.
 
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Rafiq Abdullah berkata, dalam keadaan negara sedang dilanda pandemik COVID-19, Anwar sepatutnya perlu bersama-sama berganding bahu membantu dan melupakan soal politik serta kuasa untuk sementara waktu.
 
"Jika kita perhalusi tindakan Anwar selama ini, beliau hakikatnya lebih mengutamakan soal agenda politik peribadinya berbanding kepentingan rakyat.
 
"Pada masa rakyat sedang bergelut dengan pelbagai masalah terutama ekonomi yang terjejas akibat pandemik, beliau tidak habis-habis dengan usaha untuk merebut kuasa.
 
"Sebelum ini, beliau bertemu Yang di-Pertuan Agong kononnya sudah mempunyai sokongan ahli Parlimen dan terkini mahu mencabar keputusan darurat yang dibuat baginda di mahkamah pula," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
 
BACA: Anwar dakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin berada di lembah kegilaan
BACA: Anwar akan cabar proklamasi darurat di mahkamah
 
Terdahulu, Anwar berkata, pengisytiharan darurat disifatkan seperti tidak ada kaitan dengan usaha dan upaya negara melawan impak COVID-19.
 
Dalam pada itu tegas Mohd Rafiq, Anwar sepatutnya bersabar dan menunggu pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.
 
"Saya yakin, setelah kes jangkitan COVID-19 ini semakin menurun dan pulih, Perdana Menteri akan melaksanakan PRU untuk memberi mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil dan kuat.
 
"Namun, tindakan Anwar seolah-olah menggambarkan beliau tidak hormat terhadap keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong dalam usaha negara untuk mengekang penularan COVID-19.
 
"Memang Perdana Menteri dan jemaah menteri yang menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan itu berdasarkan keadaan negara yang dilanda pandemik supaya kerajaan boleh menumpukan perhatian terhadap usaha mengekang penularan jangkitan," ujarnya.
 
Tegasnya, Anwar perlu tahu bahawa keputusan darurat bukan hak Perdana Menteri tetapi Yang di-Pertuan Agong setelah mengkaji dengan teliti nasihat yang diberikan jemaah Menteri.
 
Justeru katanya, tindakan Anwar yang mahu mencabar keputusan darurat di mahkamah adalah bukti beliau mencabar keputusan yang telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan bukannya Perdana Menteri.
 
"Jadi saya minta Anwar dan pembangkang tidak membuat tuduhan bukan-bukan terhadap kerajaan, kononnnya darurat semata-mata untuk Muhyiddin mengekalkan kuasa dan sebagainya.
 
"Hakikatnya, apa yang kita lihat berdasarkan tindakan Anwar sejak kebelakangan ini adalah bukti beliau terdesak mahukan kuasa sehingga tidak mempedulikan keadaan negara dan kepentingan rakyat.
 
"Lebih terdesak bila Anwar cuba mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong pula," tegasnya.

Tiada ulasan: