KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad dan empat yang lain adalah kumpulan terbaru memfailkan permohonan untuk campur tangan dalam tindakan undang-undang oleh seorang peguam mengenai sama ada keputusan Yang di-Pertuan Agong tahun lalu untuk menolak pengisytiharan darurat seperti dinasihatkan perdana menteri melanggar perlembagaan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata dia memfailkan tuntutan mahkamah tersebut dalam daftar Mahkamah Tinggi minggu lalu bagi pihak Dr Mahathir, anaknya Mukhriz (Ahli Parlimen Jerlun), Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu), Shahruddin Md Salleh (Ahli Parlimen Sri Gading) dan senator Marzuki Yahya.
“Klien kami berpendapat, sebagai wakil rakyat, mereka adalah pihak berkepentingan. Mereka adalah pihak yang terkesan sekiranya Agong menerima nasihat perdana menteri,” katanya.
Rafique berkata, dia sedang menunggu salinan tuntutan yang dimeterai daripada mahkamah sebelum menyerahkannya kepada plaintif, (peguam) Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar dan defendan, kerajaan Malaysia.
Sementara itu, peguam R Kengadharan yang mewakili Syed Iskandar berkata, kliennya tiada bantahan terhadap Majlis Peguam untuk masuk sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae) untuk membantu dalam perbicaraan tersebut.
“Mereka mempunyai peranan berkanun di bawah Akta Profesion Undang-Undang untuk membantu pentadbiran keadilan,” katanya kepada FMT.
Peguam Bastian Pius Vendargon menulis kepada mahkamah bagi pihak majlis itu bulan lalu.
FMT difahamkan Majlis Peguam mungkin akan berpegang kepada prinsip berdasarkan peraturan undang-undang selepas membaca saman dan afidavit asal yang difailkan oleh Syed Iskandar pada November.
Bagaimanapun, status amicus curiae itu hanya membenarkan satu pihak untuk membuat penyerahan dengan jemputan mahkamah.
Terdahulu, Persatuan Peguam Muslim, Center for A Better Tomorrow (Cenbet), dan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Malcolm Fernandez dan Nazirah Abdul Rahim juga pernah memohon untuk menjadi pihak dalam tindakan tersebut.
Namun, Syed Iskandar dan kerajaan tidak membenarkan penyertaan mereka kerana mereka tidak mempunyai kepentingan dari segi perundangan.
Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya akan mendengar permohonan mereka pada 16 Feb.
Dalam afidavit untuk menyokong tindakan itu, Syed Iskandar berkata, Agong, dalam tindakannya tidak menerima nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau Kabinetnya, tidak menjalankan peranannya selaras dengan Artikel 40 dan 150.
Pada 23 Okt, Muhyiddin telah menasihati Agong untuk mengeluarkan perisytiharan darurat di bawah Artikel 150 selepas Kabinet menyetujui perkara itu dalam satu mesyuarat khas.
Dua hari kemudian, selepas mengadakan pertemuan khas antara Raja-raja Melayu, Agong bersetuju pengisytiharan darurat di seluruh atau sebahagian negara tidak perlu.
Syed Iskandar mengemukakan dua pertanyaan perundangan dalam tindakan undang-undangnya yang difailkan pada 30 Okt, iaitu “samada di bawah pembentukan Artikel 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Agong mempunyai budi bicara yang tidak terhad untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun dengan nasihat perdana menteri menteri atau Kabinet” dan “samada pindaan terhadap Artikel 150, dengan menambah klausa (8) dan (9), telah melanggar struktur asas perlembagaan”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan