Wan Syamsul Amly, Rahimah Abdullah

Mas
Ermieyati berkata, parti itu sendiri kini sedaya upaya menjaga hubungan
selain berusaha memperkukuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN).
KUALA LUMPUR:
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO perlu memikirkan
langkah berbeza supaya penyatuan antara kedua-dua parti tidak longgar
dan terus diperkukuhkan.
Naib Ketua
Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, parti itu
sendiri kini sedaya upaya menjaga hubungan selain berusaha
memperkukuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN).
"Ia
perlu dilakukan dengan menghormati antara satu sama lain dan tidak
menimbulkan sebarang masalah walaupun ada pelbagai rungutan dan juga
perkara berlaku. Kita menghormati arahan Presiden dan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sentiasa menghormati rakan kita dan
meneruskan khidmat kepada masyarakat.
"Kita
berhadapan dengan COVID-19 dan ekonomi tidak berapa baik. Kita juga
hendak mulakan tahun baharu dengan pelbagai agenda rakyat. Kalau asyik
berpolitik, kita akan memberi imej yang tidak baik kepada masyarakat,
sedangkan masyarakat berhadapan situasi getir hari ini," katanya ketika
dihubungi pada Isnin.
Presiden
UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, melalui kajian
awal, 143 bahagian UMNO menyatakan tidak mahu bekerjasama dengan
Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.
Mengulas
lanjut, Mas Ermieyati, berkata Srikandi Bersatu akan menghormati apa
sahaja keputusan yang bakal diambil Muhyiddin dan pucuk pimpinan parti.
Ujarnya,
ia akan mengambil kira pelbagai aspek selain mengelakkan pengakhiran
yang berpecah belah sekali gus merugikan orang Melayu.
Setakat
ini UMNO mempunyai 38 Ahli Parlimen, termasuk 11 orang menteri penuh
selain beberapa orang daripada mereka menjadi pengerusi syarikat
berkaitan kerajaan (GLC).
Sementara
itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz
berkata, UMNO memerlukan sesi penerangan mengenai isu kerjasama dengan
Bersatu sebelum Perhimpunan Agung UMNO akhir bulan ini.
Setakat ini, maklumat sebenar masih tidak sampai kepada akar umbi.
"Sebenarnya
dari sekarang, sebelum Perhimpunan Agung UMNO ini, kena ada sesi
penerangan yang benar-benar lengkap supaya akar umbi dapat maklumat
sebelum (memutuskan) menolak atau bersama (Bersatu).
"Setakat
ini maklumat sebenar tidak sampai. Ada yang nak putuskan hubungan
tetapi tak pernah cakap dan ada yang tak nak ada kerjasama dengan Anwar
dan DAP. Jadi itu kena jelas, baru akar umbi dapat buat keputusan
sebaiknya.
"Jadi ceritakan penerangan
sebenarnya apa yang berlaku selepas PRN Sabah, rundingan kerusi, isu
jawatan, kena jelaskan akar umbi supaya mereka faham termasuk mengenai
hala tuju, sama nak pergi solo, nak ke PKR atau DAP, dan hubungan dengan
Pas macam mana," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
UMNO
Bahagian Putrajaya pada Ahad membuat ketetapan menyokong kepimpinan
Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun terdapat gesaan agar parti
itu menolak kerjasama dengan Bersatu.
Ketuanya,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dilaporkan berkata bahagian itu
juga meminta semua Ahli Parlimen UMNO untuk meneruskan kerjasama dengan
Perikatan Nasional (PN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan