HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Januari 2021

Tengku Razaleigh tidak berniat jadi Perdana Menteri

Nickyson Nyambar
Tengku Razaleigh tidak berniat jadi Perdana Menteri
Bekas Menteri Kewangan itu juga menyuarakan pentingnya penglibatan anak 
muda dalam pelbagai sektor di Malaysia khasnya apabila golongan ini mampu 
mencipta inovasi dalam teknologi. - Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak mempunyai niat untuk menjadi Perdana Menteri.
 
Namun, beliau yang juga merangkap Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berkata, sekiranya diberi peluang untuk memegang mandat jawatan tertinggi negara tersebut, perkara utama yang akan diberi tumpuan adalah untuk mengukuhkan nilai ringgit. 
 
“Selain daripada mengembalikan kestabilan politik, apa yang akan saya lakukan adalah membaiki kedudukan Ringgit Malaysia (RM) kita.
 
“(Nilai) Ringgit kita menjunam jatuh dengan teruk sekali. Sebagai contoh, kita lihat perbandingan dengan nilai Baht, Thailand. Dahulu 14 Baht bersamaan dengan RM1. Sekarang 7 Baht sudah bersamaan dengan RM1.
 
“Begitu juga dengan Dolar Amerika, nilai kita sudah jauh berbeza,” kata beliau semasa ditemu bual dalam program Perspektif, Astro AWANI pada Isnin.
 
Tambah Tengku Razaleigh, menyentuh mengenai pendiriannya dalam soal pentadbiran negara, beliau bukan mahu memprovokasi atau menjatuhkan kerajaan sedia ada, namun mahu pentadbiran sedia ada mementingkan keabsahan berdasarkan perlembagaan.
 
“Saya merasakan setiap pentadbiran yang diberi kuasa (menerajui negara) haruslah bertindak dengan baik mengikut apa yang ditentukan oleh perlembagaan.
 
“Saya sebagai seorang wakil rakyat telah mengangkat sumpah, dan sudah menjadi tugas bagi setiap pemimpin mempertahankan perlembagaan,” ujarnya. 
 
Dalam pada itu, beliau turut beharap lebih ramai anak muda menyertai pelbagai bidang, termasuk politik.
 
“Anak muda boleh tampil dengan idea kreatif, selain membuka peluang menerokai cara baharu khasnya yang berkaitan dengan teknologi,” jelasnya dalam temu bual yang sama.

Tiada ulasan: