HALAMAN SANTAI

Isnin, 11 Januari 2021

Jazlan: Keputusan saya tak dipengaruhi mana-mana pihak

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan keputusannya menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Ahmad Jazlan berkata, dia juga tidak menyatakan sokongan kepada pihak lain ataupun menyentuh tentang pilihan raya umum (PRU).

"Jujur saya nyatakan, keputusan saya tidak terpengaruh atau dipengaruh oleh mana-mana pihak. Saya buat seikhlas hati saya demi rakyat dan parti saya.

"Dalam sidang media saya, tidak ada menyentuh pun soal PRU, atau pun memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

"Dan saya bukanlah orang yang pertama menarik sokongan. Saya ahli Parlimen yang kedua selepas Ahli Parlimen Gua Tengku Razaleigh Hamzah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 9 Jan, Ahli Parlimen Machang itu menjelaskan pengumumannya untuk menarik balik sokongan ke atas kerajaan PN adalah sebagai wake up call atau 'kejutan'.

Katanya, ini bagi menyedarkan pihak-pihak tertentu untuk tidak menganiaya atau membuli partinya Umno.

“Apa kita buat semata-mata untuk beri wake up call bahawasanya utamakan rakyat. Jangan aniaya Umno, jangan buli Umno.

“Apa bentuk buli saya tidak mahu buat ulasan lebih,” katanya pada sidang media yang diadakan di Kota Bharu.

Pengumuman Ahmad Jazlan itu meletakkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin kini hanya memperoleh sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Untuk rekod secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi, namun dua daripadanya kosong disebabkan kematian penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan turut memberikan sembilan alasan mengapa dia menarik balik sokongan kepada PN.

Antara alasan yang dikemukakannya adalah membabitkan isu moratorium dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana ramai tertipu.

Dia juga turut tidak berpuas hati dengan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih belum terbela.

Katanya, kes Adib yang telah diperjuangkan oleh Umno dan PAS semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak diambil peduli oleh kerajaan hari ini.

"Harapan keluarga Adib hanya menjadi igauan yang mengharapkan kerajaan yang didukung oleh pemimpin yang ada dalam Kerajaan PN memberi pembelaan yang adil dalam kes Adib.

"Oleh itu kami berpendapat bahawa kerajaan hari ini masih dipengaruhi oleh pemimpin kerajaan terdahulu yang mana kes ini tidak ada jalan penyelesaian," katanya.

Tiada ulasan: