HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Januari 2021

Kuasa mutlak Muhyiddin bawah darurat sukarkan Pejuang didaftar, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata darurat mahupun Covid-19 tidak boleh dijadikan 
alasan untuk menafikan pendaftaran Pejuang. 

PETALING JAYA: Pengasas Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu mungkin tidak dapat didaftarkan akibat kuasa mutlak yang dinikmati Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi pengisytiharan darurat minggu lalu.

Beliau menuduh Muhyiddin sebagai menyeleweng kuasanya, seperti mana dilakukan Najib Razak apabila beliau membatalkan pendaftaran PPBM di ambang pilihan raya umum lalu. Najib adalah perdana menteri ketika itu.

“Ketika itu, (Muhyiddin) presiden PPBM dan amat marah. Beliau menganggapnya sebagai taktik kotor dan tidak adil yang dilakukan oleh kerajaan Najib.

“Namun oleh kerana sekarang beliau adalah (pemimpin) kerajaan dengan kuasa-kuasa darurat, (Muhyiddin) melakukan benda sama,” kata Mahathir dalam blognya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, darurat mahupun Covid-19 tidak boleh dijadian alasan untuk menafikan pendaftaran Pejuang.

“Apakah pandemik Covid-19 akan bertambah teruk jika pendaftaran Pejuang diluluskan? Atau adakah kerajaan begitu sibuk menguruskan Covid-19 sehingga tidak mempunyai masa untuk membuat sebarang kerja lain?.

“Atau adakah ini taktik kerajaan untuk menentukan ia tidak akan ditentang pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mahathir.

Mahathir berkata, Pejuang sudah mematuhi semua syarat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk mendaftarkan Pejuang, namun gagal kerana campur tangan menteri dalam negeri.

Mahathir berkata, kemungkinan Pejuang didaftarkan sekarang, semasa darurat berkuatkuasa, amat tipis, memandangkan Muhyiddin mempunyai kuasa begitu luas.

“Dengan berkuatkuasanya darurat, kuasa-kuasa perdana menteri tidak boleh dicabar. Demokrasi sudah tidak ada. Jadi saya anggap Pejuang tidak boleh berbuat apa-apa supaya JPPM mendaftar Pejuang,” kata Mahathir.

Pejuang ditubuhkan sebagai parti bebas berteraskan orang Melayu selepas kumpulan dikaitkan dengan Mahathir bertindak keluar PPBM, yang juga ditubuhkan oleh bekas perdana menteri itu.

Anggota pengasas Pejuang lain ialah Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh dan Marzuki Yahaya.

Tiada ulasan: