HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Januari 2021

Rayuan Anwar berhubung kesahan pengampunannya didengar 28 Jul

(Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Jul untuk mendengar rayuan Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman pemula yang difailkan seorang peguam mengenai kesahan pengampunan Anwar berhubung sabitan liwatnya.

Peguam Anwar, J Leela, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata tarikh pendengaran itu dijadualkan semula pada Jul.

Pengurusan kes rayuan itu yang didengar hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Radzilawatee Abdul Rahman, dijalankan melalui e-Review.

Pendengaran rayuan itu sebelum ini ditetapkan pada 11 Jan tetapi ditangguhkan.

Rayuan Anwar akan didengar sekali dengan rayuan Lembaga Pengampunan.

Pada 21 Sept tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mempunyai “locus standi” dalam memulakan saman itu kerana beliau adalah masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula atas alasan Khairul selaku plaintif tidak mempunyai “locus standi” atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman tersebut, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan, serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Khairul, yang memfailkan saman itu pada 26 Feb tahun lalu, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, berikutan kuasa pengampunan oleh Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya pada ketika itu, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Anwar dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.

Tiada ulasan: