HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Januari 2021

Muafakat Nasional retak menanti belah, kata penganalisis Amanah



PENYATUAN Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS kelihatannya ibarat retak menanti belah, lebih setahun selepas piagam kerjasama antara dua parti politik Melayu Islam itu dimeterai, kata penganalisis.

Mereka berpendapat hubungan antara Umno dan PAS dilihat seolah-olah tidak lagi dapat mencari kesepakatan selepas parti Islam itu menjadi sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Bersatu.

Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali tidak menolak keretakan itu berpunca apabila Umno dilihat berat untuk menerima Bersatu bersama MN manakala PAS pula tidak akan meminggirkan Bersatu.

“PAS dan Umno tak dapat mencari kesepakatan. Umno tak nak Bersatu masuk MN, Umno juga tak nak masuk PN.

“Boleh kata MN sedang di ambang perpecahan, sebab realiti politik sekarang… mereka tidak semesra dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mazlan mengambil contoh situasi semasa krisis di Perak apabila Umno dan PAS mengambil pendirian berbeza sehingga mengakibatkan Ahmad Faizal Azumu gugur sebagai menteri besar.

“Tindakan Umno jatuhkan menteri besar Bersatu agak luar biasa. PAS beri respons agak keras, dengan berkata mereka tak sertai kerajaan baru. Itu maknanya PAS tak setuju tindakan Umno.

“Umno Perak pun tak lantik exco agama daripada PAS seperti kebiasannya,” kata Mazlan.
Umno terpinggir

Mazlan tidak menolak kemungkinan hubungan akrab antara PAS dan Bersatu juga menyebabkan Umno seperti merasakan mereka terpinggir.

Perasaan itu katanya juga tercermin melalui kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini yang berkata rundingan kerusi tidak lagi antara Umno dan PAS sebaliknya antara Barisan Nasional (BN) dan PN.

“Apabila Asyraf buat kenyataan seperti itu menunjukkan Umno rasa kecil hati dengan PAS, ada perasaan terkilan apabila PAS semakin akrab dengan Bersatu.

“Apabila PAS menjadi komponen penting PN, respons Umno itu menunjukkan seolah-olah PN adalah perikatan rasmi, jadi sebarang perbincangan adalah dengan PN bukan lagi MN.

“Kalau kata MN itu berkubur tidak lagi, tapi retak… sebab sekarang PAS lihat Bersatu sebagai rakan strategik untuk mereka,” kata Mazlan lagi.

Umno dan PAS membentuk kerjasama atas nama MN pada September 2019, semasa jadi pembangkang.

Selepas mengambil alih Putrajaya susulan percaturan politik pada hujung Februari, PAS menyertai Bersatu untuk mendaftarkan PN bersama dua parti dari Sabah. PN diluluskan pendaftarannya pada awal Ogos.

Umno dan BN bagaimanapun tidak menyertai PN.

Penyelidik Ilham Center Hisommudin Bakar juga berkongsi pendapat sama dan menambah MN kelihatan seperti tidak lagi mempunyai tujuan.

“Situasi MN sekarang seperti retak menanti belah. Kalau dilihat mesyuarat antara MN, ulang tahun sambutan setahun MN berlalu begitu sahaja.

“Bagi saya situasi itu seperti perkahwinan yang gantung tidak bertali,” kata ketua pegawai eksekutif Ilham Center itu.

Keadaan itu juga bergantung sepenuhnya pada peranan PAS yang cuba menjadi orang tengah kepada Umno dan Bersatu, katanya.

“Mereka (PAS) anggap mereka orang tengah dalam hubungan antara Bersatu dan Umno,” kata Hisommudin.

Tiga penjuru

Beliau berkata, sekiranya PAS gagal memainkan peranan tersebut dengan baik, pertandingan tiga penjuru antara parti berasaskan Melayu dan Islam itu tidak dapat dielakkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kalau PAS gagal akan berlaku tiga penjuru atau pecahnya BN dengan PN dan MN. Ini boleh dianggap kegagalan rundingan orang tengah menjaga hubungan.

“PAS letakkan syarat jika nak bincang perlu libatkan Bersatu. Seolah-olah ia mengikat Umno untuk melibatkan Bersatu jika ada perbincangan dengan PAS.

“Kalau Umno terima keadaan itu tak kritikal, jika Umno ambil keputusan berani buat keputusan sebaliknya ia boleh disifatkan kegagalan PAS menyelesaikan kemelut antara Bersatu dengan Umno,” katanya lagi.

Penganalisis Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, MN dilihat tidak lagi relevan selepas PAS menyertai PN.

“PAS juga melihat kepentingan dan kekuasaan politik kini terletak pada parti Bersatu yang memegang jawatan tertinggi negara sebagai perdana menteri dan berkuasa dalam menentukan hayat politik semasa,” katanya.

Beliau melihat dalam Umno sendiri terdapat percanggahan berhubung situasi MN itu sendiri.

“Jadi apabila Asyraf kata pengagihan kerusi bukan lagi antara Umno dan PAS tetapi BN dan PN adalah wajar walaupun Annuar Musa cuba menafikan,” katanya, merujuk kepada setiausaha agung BN.

Dalam respons balasnya, Annuar menjelaskan kenyataan Asyraf itu disalah tafsir sehingga menimbulkan tanggapan yang salah.

Awang Azman bagaimanapun menjangkakan Umno akan mengambil tindakan lanjut sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

“Cuma Umno tidak berani bertindak lebih agresif kerana belum ada keberanian dan kemampuan untuk bertindak balas secara lebih tegas.

“Cuma apabila Parlimen dibubarkan nanti ketika itulah baru Umno cuba bertindak balas dan pertandingan tiga penjuru tak dapat dielakkan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: