HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Januari 2021

PAS mahu kerjasama UMNO, BERSATU diperkukuhkan hadapi PRU-15

 Oleh Hazira Ahmad Zaidi  

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO Kelantan du Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi  Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU: PAS bersedia menjadi jambatan dalam mengukuhkan hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk membentuk kerajaan yang lebih kuat dan stabil bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata ia sering ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.

"Kalau kita nak menjadi kerajaan yang gagah, dalam pilihan raya akan datang ini perlu ada kerjasama yang mantap antara PAS, UMNO dan BERSATU... pengalaman yang lepas kita lihat kerajaan ini tidak stabil kerana jumlahnya (majoriti) kecil.

"Baru-baru ini dalam Belanjawan 2021, kita berjaya dengan undian 111 bagi kerajaan Perikatan Nasional dan 108 pembangkang, berbeza tiga undi... jadi dengan undian itu kerajaan jadi tidak stabil dan menjejaskan keyakinan pelabur," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, dalam PN tidak ada satu pun parti yang boleh bergerak sendiri bagi menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa tahun depan.

"Saya pernah sebut sebelum ini, ketiga-tiga parti ini iaitu PAS, UMNO dan BERSATU secara asasnya tidak ada satu pun yang boleh berdiri sendiri. Jadi disebabkan itu kita mesti merapatkan persefahaman dan mengurangkan pertembungan.

"Setakat ini pertemuan antara sayap parti sedang berjalan dan kita dapat maklumat hubungan itu ada, cuma secara formal dan tidak formal... tapi di semua peringkat hubungan antara PAS dan UMNO secara asasnya memang berlaku dan berjalan dengan baik," katanya.

Mohd Amar berkata, PAS mengetahui UMNO dan BERSATU mempunyai masalah dan sewajarnya semua pihak berusaha mengetepikan pertembungan dan perselisihan, sekali gus mencari titik pertemuan untuk kepentingan bersama.

"Untuk pilihan raya akan datang... paling lewat pun pada pandangan saya secara peribadi adalah pada Jun hadapan.

"Kita nak pilihan raya akan datang ini dapat wujudkan kerajaan yang lebih gagah dan stabil, yang bukan hanya menjaga kepentingan orang Melayu, Islam tetapi seluruh rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, beliau difahamkan MN tidak boleh didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) disebabkan nama itu sudah digunakan pihak lain.

"Nama tu sudah ada didaftarkan di ROS dan kita tidak tahu macam mana... itu yang saya difahamkan... sebab itu kita tidak boleh nak daftar, kalau nak daftar kena buat perubahan nama.

"Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada lagi cadangan nama lain... untuk kita berjalan kita kekalkan dengan Muafakat Nasional cuma tidak daftar," katanya.

Tiada ulasan: