Bernama
Takiyuddin
berkata dengan mengambil kira kepentingan awam, kerajaan
membuat
ketetapan untuk menasihati Seri Paduka untuk mengisytiharkan
darurat. -
Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Pengisytiharan Proklamasi Darurat bukan bermotifkan politik sebaliknya
dilaksana bagi pengurusan penularan COVID-19 yang semakin kritikal dalam
negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan
Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata pengurusan COVID-19 dalam negara adalah lebih penting berbanding tindakan memainkan isu politik ketika ini.
"Ada
pihak mendakwa darurat ini tindakan untuk mengelak Pilihan Raya Umum
(PRU). COVID-19 adalah isu penting antara hidup atau mati manakala PRU
hanya isu kalah atau menang. (Malah) ucapan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin (sebelum ini) menjelaskan beliau berhasrat untuk
mendapatkan mandat baharu melalui PRU namun keadaan COVID-19 (sekarang)
tidak mengizinkan.
"Malah (sebelum ini)
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah
Shah turut (memberi) perkenan isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi,
Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya untuk membendung
penularan COVID-19," katanya ketika menjadi tetamu program Bicara
Naratif bertajuk 'Proklamasi Daurat dalam Perlembagaan' yang disiarkan
di TV1 malam tadi.
Justeru,
Takiyuddin berkata dengan mengambil kira kepentingan awam, kerajaan
membuat ketetapan untuk menasihati Seri Paduka untuk mengisytiharkan
darurat.
Pada Selasa, Al-Sultan Abdullah
telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksana di seluruh
negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.
Tempoh
pelaksanaan darurat itu adalah sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh
yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan
diturunkan dengan berkesan.
Semalam,
Malaysia mencatat sejumlah 4,029 kes baharu jangkitan COVID-19, angka
harian tertinggi sepanjang pandemik itu melanda negara.
Mengulas
lanjut, Takiyuddin berkata sebelum pengisytiharan darurat itu,
Al-Sultan Abdullah juga telah mendapatkan pandangan Peguam Negara,
Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan
dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bagi penjelasan lengkap berhubung
perkara tersebut.
Berhubung kedudukan
Jemaah Menteri dan barisan pemimpin kerajaan negeri seperti yang
dipertikaikan beberapa pihak, merujuk kepada Ordinan Darurat
(Kuasa-kuasa Perlu) 2021, beliau berkata fungsi tugas mereka tetap sama.
Katanya
Seksyen 11 dalam ordinan itu memperuntukkan perdana menteri dan jemaah
menteri hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan
diberikan kuasa membuat undang-undang subsidiari manakala menteri besar
atau ketua menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meneruskan kuasa
eksekutif dan membuat undang-undang di peringkat negeri.
Menyentuh
mengenai pembentukan Jawatankuasa Bebas sepanjang pelaksanaan darurat,
Takiyuddin berkata kerajaan telah mengenal pasti tokoh berkelayakan
untuk dinamakan bagi menganggotainya, jika diperkenan oleh Al-Sultan
Abdullah.
Beliau berkata ia melibatkan
bekas Ketua Hakim Negara, bekas Ketua Polis Negara, aktivis sosial dan
beberapa pakar kesihatan untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan
Agong.
"Perkara pertama disentuh dalam
Ordinan Darurat adalah penubuhan jawatankuasa bebas ini yang dibuat
secara telus. Malah di peringkat kerajaan, kita sudah bersedia dan telah
mempunyai senarai nama untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda.
"Bagi
pihak pembangkang, saya telah tulis surat kepada ketua pembangkang di
Parlimen untuk meminta mereka menyenaraikan tiga nama bagi menganggotai
jawatankuasa berkenaan namun sehingga kini, saya masih belum
menerimanya," kata beliau.
Sebelum ini,
Al-Sultan Abdullah berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan
satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan
pembangkang serta pakar kesihatan dan individu berkaitan.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan