HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Januari 2021

Zahid tetap teguh, biar pun berdepan pelbagai serangan

KUALA LUMPUR: UMNO kekal kukuh, biarpun ada usaha digerakkan pihak tertentu dari dalam dan luar parti, untuk memusnahkan pemimpin parti itu, dakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, .

Presiden UMNO menegaskan, beliau sendiri tetap istiqamah biarpun datang pelbagai serangan bertubi-tubi terhadap dirinya.

Beliau yakin, UMNO tidak mudah dimusnahkan, kerana kekuatan parti itu yang bertunjangkan keutuhan di peringkat akar umbinya.

"Saya tetap istiqamah biarpun peluru-peluru fitnah dan roket-roket penjahanam UMNO dari setiap sudut dalaman dan luaran, dihamburkan bertubi-tubi kepada saya.

"Kekuatan UMNO sebenar dari benteng-benteng di akar umbi. Biarpun pemimpin-pemimpinnya cuba dimusnahkan, namun bentengnya tetap utuh," katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Ketika ini, pelbagai kritikan dilontar terhadap Ahmad Zahid, susulan timbul dakwaan beliau terbabit dalam usaha bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini termasuk dakwaan pembabitannya serta beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO yang sedia menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Dakwaan berkenaan surat sokongannya kepada Anwar yang diserah kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, didedahkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang dipecat, Tan Sri Annuar Musa.

Susulan pendedahan itu, beberapa pemimpin UMNO akar umbi menggesa supaya Ahmad Zahid berehat dari jawatannya sekarang.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MKT) sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar, PKR serta DAP dan terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Tiada ulasan: