PUTRAJAYA: Majoriti ahli Parlimen pembangkang dan beberapa daripada kerajaan dikatakan sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi memohon kebijaksanaan baginda menilai semula alasan dipersembahkan Perdana Menteri membabitkan proklamasi darurat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebahagian besar daripada mereka menghantar surat berkenaan semalam.
Apabila kerajaan membuat keputusan mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen, beliau berkata, ahli Parlimen berasa bertanggungjawab menyuarakan keluhan rakyat.
"Ya benar, sekarang ini (bilangan) ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong itu mencecah lebih daripada majoriti.
"Bukan membantah, (sebaliknya) merayu ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menimbang, melihat semula dan mengkaji alasan yang dibawa Perdana Menteri itu tidak munasabah, tidak cukup kuat.
"Kami memohon Yang di-Pertuan Agong menimbang dan kita terima keputusan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang media secara maya menerusi Facebook, hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR, berkata, ahli Parlimen terbabit termasuk dirinya memohon Yang di-Pertuan Agong mendengar hujah dikemukakan mereka berhubung pengisytiharan perintah darurat itu untuk dipertimbangkan.
Pada masa sama, Anwar berkata, perkara kedua membabitkan urusan Parlimen berikutan ada peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan sidang Parlimen berjalan walaupun dalam keadaan darurat.
Beliau berkata, walaupun Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa Yang di-Pertuan Agong membuat Proklamasi Darurat, Perkara 150(3) membolehkan sidang Parlimen berjalan seiring perintah berkenaan.
Tegasnya, permohonan di mahkamah yang akan dibuat seawal esok bukan menyentuh soal darurat, sebaliknya bagi mendapatkan keputusan supaya Parlimen boleh terus bersidang.
Menjawab soalan, Anwar berkata, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat tidak sama dengan sidang Parlimen kerana tidak mempunyai kuasa eksekutif.
"Ia hanya dianggotai empat ahli Parlimen kerajaan dan tiga Ahli Parlimen pembangkang.
"Kita sambut dan putuskan untuk menghantar wakil dan ia adalah jawatankuasa bebas, bukan daripada kuasa eksekutif.
"Ia bermakna mereka akan dengar dan memberi pandangan yang lebih menjurus kepada pengisytiharan darurat, bila patut dihentikan dan sebagainya.
"Itu bukan penyelesaiannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan