HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2021

Kurniaan ‘Datuk’ tiada kaitan dengan keterangan terhadap Najib, kata juruaudit

Nor Salwani Muhammad merakam prosiding mesyuarat di mana dua set penyata 
kewangan dikeluarkan daripada laporan audit 1MDB.

KUALA LUMPUR: Juruaudit kerajaan yang merakam prosiding satu mesyuarat peringkat atasan nafi beliau dikurniakan gelaran “Datuk” tahun lalu kerana memberi keterangan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan laporan audit 1MDB.

Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad, beritahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau dicalonkan untuk kurniaan gelaran “Datuk” sebelum memberi keterangan pada Nov 2019.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, menyatakan bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Abdul Samad beritahu media tahun lalu bahawa kerajaan ketika itu mencalonkan Salwani sebagai penghargaan kerana “menyimpan laporan audit 1MDB yang asli, walaupun dia diarah untuk menghapuskannya”.

Salwani antara 25 individu yang menerima gelaran “Datuk” semasa sambutan Hari Wilayah Persekutuan Februari tahun lalu.

Shafee kemudian bertanya: “Adakah anda tahu apa yang dia (Khalid) katakan?”

Salwani menjawab: “Saya dicalonkan kerana berkhidmat di JAN dan Kementerian Wilayah Persekutuan sepanjang 30 tahun yang lalu.”

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menyela, mengatakan pihak pembelaan “tidak boleh terlalu memikirkan” kenyataan Khalid di media.

“Tidak adil bagi anda untuk bertanya kepada dia (Salwani) tentang apa yang sebelum ini dikatakan oleh bekas menteri,” tambah beliau.

Salwani kemudian beritahu mahkamah beliau menghargai kenyataan Khalid tetapi tidak setuju akan alasan bagi pencalonannya.

Saksi itu juga menegaskan beliau tidak berniat menyembunyikan alat rakaman dalam mesyuarat pada 24 Feb 2016 antara orang atasannya di JAN; ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa; setiausaha peribadi utama Najib ketika itu, Shukry Mohd Salleh; pegawai-pegawai kanan Jabatan Perbendaharaan; seorang pegawai dari Jabatan Peguam Negara; dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

“Kami diarahkan untuk meninggalkan bilik mesyuarat dengan tergesa-gesa sebelum KSN (ketua setiausaha negara) menyertai mesyuarat.

“Saya tidak berniat melakukan sesuatu yang luar biasa dan bertentangan dengan kod etika saya,” kata Salwani.

Mahkamah dimaklumkan selepas mesyuarat 24 Feb itu, juruaudit kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan empat perkara, termasuk dua set penyata kewangan, daripada laporan audit akhir 1MDB.

JAN membentangkan dapatan 1MDB di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dari 4 hingga 7 Mac 2016.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan imuniti daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan audit yang telah dimuktamadkan sebelum dibentangkan di hadapan PAC. Arul Kanda dituduh bersubahat dengan beliau.

Perbicaraan bersambung pada 11 dan 12 Ogos.

Tiada ulasan: