Saya mengelak untuk tidak menyentuh tentang politik parti DAP secara langsung. Tapi apakan daya, godaan beberapa orang teman, sukar untuk dihindarkan.
Maka saya cuba sejujur dan secermat mungkin menulis catatan tepi ala-ala memoir Tommy Thomas My Story: Justice in the Wilderness, tentang pengalaman saya dalam DAP, parti yang saya sertai kurang lebih 11 tahun lalu.
Sejak sekian lama, saya seringkali ditanya mengapa sertai DAP. Orang yang terakhir bertanya kepada saya adalah Mahathir Mohamad.
Pada mulanya, saya dijemput oleh Wan Hamidi Hamid, bekas wartawan senior yang suka pada muzik punk, ketika itu dia sebagai penasihat media kepada parti yang baharu lepas menang bergaya di Pulau Pinang.
Mengapa saya menerima pelawaan ini? Pertama kerana saya belum pernah menjadi ahli mana-mana parti dan tak pernah dipelawa menyertai mana-mana parti walaupun saya menerima pendedahan politik menerusi rakan-rakan dalam PKR lebih awal dari saya mengenali DAP.
Kedua, ketika itu saya ditugaskan untuk menggerak dan membangunkan portal Roketkini.com bersama Hamidi, dibantu oleh Zairil Khir Johari yang ketika itu bertugas sebagai Setiausaha Politik Lim Guan Eng, serta Zafir, satu-satunya wartawan Roketkini yang baik hati tetapi selalu ‘khayal’ berpuisi dengan asap. Roketkini menjadi lidah rasmi parti DAP.
Saya juga menulis di portal itu. Untuk menulis segala maklumat mengenai DAP, sejarahnya dan idealisme perjuangannya maka saya merasa wajar untuk menyelami sendiri naratif parti politik ‘Cina’ ini dari dalam.
Maka sebab kedua inilah menjadi faktor penarik mengapa saya menyertai DAP – untuk mengenali, memahami dan menulis mengenainya agar boleh dibaca oleh orang Melayu.
Di peringkat awal, kami perlu mengorek kembali khazanah yang ada mengenai DAP daripada buku, majalah, manifesto, laporan berita/akhbar, rencana dari arkib parti dan individu, termasuk ‘men-Google’ DAP untuk melihat parameter politiknya.
Ketika itu kami dapati, hampir tidak ada satu pun berita atau cerita yang baik mengenai DAP dalam bahasa Melayu. Ini bermakna, naratif politik DAP ini tidak pernah dirakamkan dengan betul dan jelas dalam bahasa yang boleh difahami oleh orang Melayu yang menguasai politik nasional. Yang ada hanya cerita seram dan hodoh mengenai parti ini.
Maka itulah tugas yang diberikan kepada saya dan Roketkini untuk merakam kembali naratif politik DAP yang tercicir dari bacaan dan rujukan oleh masyarakat yang membaca dalam bahasa Melayu.
Tiada propaganda
Kami tidak menulis propaganda, sebaliknya meletakkan rakaman sejarah politik DAP dalam bahasa Melayu seadanya, ada beberapa teks yang kami terjemahkan bersama dan selebihnya diterjemahkan oleh Refsa. Itulah keadaan sebenar betapa miskinnya DAP dengan sumber rujukan Bahasa Melayu untuk pembaca Melayu.
Kerja pasukan kami ini bagus, tetapi realiti ketika itu hanya segelintir sahaja pemimpin dan ahli parti yang peduli tentang usaha untuk menyusun kembali naratif politik DAP di khalayak arus perdana iaitu Melayu.
Sebahagian yang lain buat-buat pelik. Ada tokoh kanan ketika itu mengatakan bahawa dia tidak perlukan undi Melayu untuk menang. Iyalah, mentang-mentang bertanding di kerusi majoriti Cina, senanglah dia cakap. Ini real, bukan cerita dongeng.
Bermakna, dalam usaha ini masih ada di kalangan pemimpin DAP yang sinis dengan usaha tersebut. Bagi mereka, sebaiknya tumpukan kepada sokongan akar umbi sedia ada dah mencukupi.
Dalam keadaan itu, kami tak putus asa bekerja, kerana kami sedar kami tidak bekerja untuk pemimpin DAP, kami bekerja untuk bantu parti agar DAP boleh duduk sewarung dengan orang-orang Melayu, bercerita dalam bahasa yang sama, yang mudah difahami.
Pada masa yang sama, parti sudah mula menerapkan penggunaan bahasa Melayu dalam program-program rasmi mereka, walaupun ada wajah-wajah yang masih terpinga-pinga.
Secara tidak langsung Roketkini sebagai media rasmi parti, turut terlibat menjadi sebahagian dari urusetia program-program parti baik di peringkat nasional mahupun negeri.
Ketika itu saya melihat DAP benar-benar mahu mereformasikan parti mereka dari kedai runcit kepada supermarket, dari gung ho kepada diplomasi.
Dalam parti, kumpulan kecil Roketkini ini agak diistimewakan, nak apa diberi asal kerja jadi lebih lancar. Tetapi di luar parti dan di rumah, penerimaan keluarga selepas saya menyertai DAP, saya rasa tak perlulah dikisahkan kerana itu semua sudah menjadi sejarah yang menyedihkan.
Jalan terus
Selain melapor dan menulis mengenai politik DAP, kami juga diberi ruang untuk menjalankan beberapa sesi forum baik secara tertutup mahupun terbuka. Dari Penang hinggalah ke Johor Bahru, dari satu bandar ke satu bandar, dari satu dewan ke satu dewan dan dari satu warung ke satu warung.
Forum-forum anjuran kami juga disertai pelbagai kaum walaupun kami tak jemput kaum Cina dan India, dari ratusan kehadiran hinggalah seramai tujuh lapan orang. Kami jalan terus hingga program kecil seperti majlis berbuka puasa bersama budak-budak Melayu pun kami ambil tugas itu dengan serius.
Program buka puasa atau iftar ini bukan untuk tunjuk DAP sayang Islam ataupun mereka turut berpuasa untuk nak menarik orang masuk DAP, tidak. Sebaliknya untuk membawa Cina-cina DAP memahami budaya berbuka puasa orang Melayu, itu saja.
Ketika inilah wajah-wajah baru DAP mula muncul antaranya Dyana Sofea, Sakmongkol dan beberapa yang lain. Pasukan Roketkini juga semakin membesar dengan penyertaan batch kedua oleh beberapa lagi rakan seperti Izmil sebagai wartawan dan penulis yang selalu menulis hingga tertidur di depan komputer, Hafiz, wartawan yang suka berenang, begitu juga dengan Wira sebagai jurufoto.
Apabila pasukan dah sedikit besar, maka pelbagai lagi usaha dijalankan antaranya wawancara, rakaman ceramah, program jelajah Impian Malaysia, bedah buku dan pernah ada kelas bahasa, tapi kelas bahasa ini tak lama kerana tidak konsisten.
Sekdem
Kerja ini berterusan hingga kami menggerakkan Sekolah Demokrasi (Sekdem) dengan bantuan Liew Chin Tong yang ketika itu sebagai ahli parlimen Bukit Bendera. Mungkin ramai meneka inilah wadah DAP untuk merekrut ahli Melayu dan Muda menyertai DAP.
Sebenarnya tidak, wadah ini digunakan untuk memperkenalkan dasar perjuangan DAP kepada peserta, dan mendekatkan hubungan serta pergaulan antara pemimpin parti dengan budak-budak Melayu, itu saja.
Program ini boleh dikatakan berjaya dan boleh juga dikatakan gagal. Dari sisi lain, sebenarnya ada kumpulan budak-budak Melayu yang menyertai Sekdem ini boleh dikategorikan sebagai program junkies, bukan semua yang sertai itu minat sangat pun. Tetapi kami terima juga kumpulan seperti ini kerana di kala itu, kami tidak banyak pilihan.
Malah ada beberapa ketika, peserta Sekolah Politik (Sekpol) PKR juga menyertai Sekdem. Sekdem dan Sekpol seakan-akan bersaing dan berebut budak-budak yang sama. Kerja bodoh.
Selain modul kursus Sekdem yang menarik, program ini menyediakan makan dan penginapan percuma ditambah pula dapat bertemu, berbincang dan bergambar dengan Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang dan pemimpin DAP yang lain. Itu saja, tak ada secret recipe.
Ketika itu, dari ratusan peserta, boleh dikira dengan jari berapa ramai yang menyertai DAP sebagai ahli. Jadi Sekdem bukanlah platform merekrut ahli baru sebaliknya, nak mendedahkan peserta yang berminat untuk mengetahui dan mengenali DAP, ini tujuan utamanya – kenali DAP sambil makan free.
Pada masa yang sama, beberapa kerat pemimpin parti merasakan ini kerja sia-sia, duit banyak habis taja Sekdem tapi ahli Melayu tak bertambah, untuk ahli Cina tak payah keluar modal pun ahli boleh bertambah. Ini perbandingan mereka.
Hinggalah kerja-kerja Sekdem ini terhenti apabila PRU13 datang. Saya tiba-tiba menjadi bidan terjun di Tanjung Piai setelah seorang profesor Melayu menolak tawaran parti untuk bertanding disitu.
Habis PRU kami menyambung Sekdem, tetapi malangnya orang politik ini cepat jemu atau selalu lupa. Kini tujuan telah berubah iaitu nak jadikan platform untuk merekrut ahli, jumlah peserta juga nak lebih ramai dan besar (nak borong), dan apabila turn out kurang, saya kena mengadap dan menjawab.
Selepas itu kerja-kerja saya mula dipertikai. Beberapa waktu bertahan dan akhirnya, saya berhenti kerana saya tidak mampu lagi melaksanakan selera baharu politik pasca-PRU13.
Selepas itu, saya terpaksa menjadi ahli politik. Kisah selebihnya, adalah sejarah yang tak terungkap.
Inilah serba sedikit pengalamana saya dalam DAP pada lima tahun pertama sebagai ahli parti. Tidak semuanya buruk, tidak semua indah. Tidak semuanya diterima dan tak semuanya difahami.
Yang terlupakan
Ketika menjadi kerajaan persekutuan, DAP merasakan itulah jalan pintas untuk memulihkan imej parti di kalangan Melayu dengan cepat. Andaian mereka, sebagai kerajaan, DAP mempunyai sumber dan saluran yang kuat untuk mengetengahkan imejnya yang baharu kepada rakyat khususnya Melayu. Ini impian DAP.
Tetapi, sebaliknya berlaku semasa menjadi kerajaan, kerja-kerja merakam naratif DAP ini tidak lagi kedengaran dan seperti tidak bergerak kerana mengurus kuasa telah menjadi keutamaan baharu parti dan pimpinan.
Saya hampir percaya dengan andaian di atas. Tapi ternyata ia ilusi. Jika benar imej DAP telah pulih, pastilah Tun M dengan mudah meyakinkan presiden dan partinya Bersatu agar kekal bersama DAP sebagai rakan akrab dalam kerajaan PH.
Tetapi hal itu tak berlaku, kerana setakat yang kita tahu, selain isu Anwar Ibrahim, isu DAP menjadi punca keluarnya kumpulan yang dikatakan pengkhianat itu daripada PH.
Saya dan beberapa orang rakan bertemu sendiri dengan orang kuat PPBM bertanyakan hal ini dan dia menjelaskan DAP menjadi masalah kepada orang Melayu, khususnya penyokong mereka dan kakitangan kerajaan. Saya tidak mahu berbalah mengenai hal ini kerana kami di lapisan bawah, tak begitu mengetahui percaturan politik pemimpin di atas.
Sebelum peristiwa Langkah Sheraton, saya masih ingat bagaimana satu-satunya wakil Melayu yang muda di Johor Sheikh Umar, dibuli hingga terpaksa menukar portfolio exconya sebanyak dua kali dan keadaan itu tidak dapat dipertahankan oleh pimpinan parti atas alasan DAP harus bersikap lembut untuk menjaga imej DAP agar tak dilihat melawan di mata pihak tertentu.
Di sebelah lain, DAP juga bersikap lembut dalam isu komik Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI) dan isu tulisan Jawi yang dibawa ke mahkamah oleh Adun mereka di Pahang. Sikap ini mungkin bertujuan nak menjaga hati pimpinan dan sokongan akar umbi tradisinya. Inilah dilema DAP.
Tiada jalan pintas
Bagi saya, tidak ada jalan pintas untuk memulihkan imej DAP. Jangan pernah meletakkan harapan bahawa DAP akan mudah diterima oleh kaum Melayu dalam 10-20 tahun mendatang. Sebaliknya usaha DAP harus berterusan tanpa henti.
Sebagai jalan pintas, memang DAP boleh mengubah pendekatan dengan meletakkan separuh daripada calon mereka dari kalangan Melayu. Dan, jika mengorbankan calon bukan Melayu untuk memberi laluan kepada calon Melayu yang lain, bagaimana penerimaan pimpinan?
Bagi saya, soal jumlah calon Melayu bukan soal utama tetapi yang penting kesungguhan wakil rakyat dan pemimpin yang ada seperti yang ditunjukkan oleh Steven Sim dan geng-geng Kampung Tunku yang gigih berusaha membina persepsi baharu.
Realiti boleh berubah dan telah pun berubah, keutamaan kali ini bukan untuk meluruskan naratif dan imej DAP sebaliknya perjuangan untuk kembali berkuasa menjadi kerajaan dan kembali berharap agar imej itu akan pulih dengan jalan pintas, sekali lagi.
Malah saya boleh memahami jika DAP perlu bersedia jika diminta kembali kepada undi tradisi dan sokongannya demi meneruskan agenda gabungan parti menuju ke Putrajaya.
Hari ini, keutamaan dan realiti kita telah berbeza.
(*) MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan