Faris Danial Razi
KUALA LUMPUR:
Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan keberatan dicalonkan sebagai Perdana
Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, meletak jawatan susulan krisis
politik berpunca daripada Langkah Sheraton Februari tahun lalu.
Muhyiddin
ketika itu bertegas supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
menamakan Dr Mahathir semula sebagai calon Perdana Menteri, dedah
Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad.
Marzuki
berkata, Muhyiddin memberitahu ahli Parlimen Bersatu untuk hanya
menyerahkan satu nama iaitu Dr Mahathir kepada Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada malam
sebelum menghadap baginda.
“Benar,
Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar (Ibrahim) tidak mendapat sokongan
majoriti ahli Parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Pada
masa inilah, Muhyiddin dipanggil untuk menyelamatkan keadaan. Setelah
Tun Mahathir gagal mendapat sokongan majoriti, beliau (Muhyiddin)
akhirnya bersetuju agar namanya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong
sebagai calon Perdana Menteri.
“Kerana
menghormati Tun Mahathir, beliau (Muhyiddin) berjumpa dengan bekas
Perdana Menteri itu di pejabatnya dan memintanya untuk menyokong
pencalonannya sebagai Perdana Menteri.
“Rasanya seperti deja vu
bagi saya ketika saya menunggu di luar pejabat PM sementara Tan Sri
Muhyiddin dan dua pemimpin Bersatu yang lain bertemu Tun Mahathir,”
jelas Marzuki dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada Selasa.
Marzuki
berkata, apabila keluar dari pejabat berkenaan, Muhyiddin
memberitahunya serta dua pemimpin Bersatu bahawa Dr Mahathir tidak
keberatan dengan pencalonannya dan mengatakan beliau boleh meneruskannya
jika mendapat sokongan mencukupi ahli Parlimen.
“Tetapi
kemudian, Tun Mahathir enggan menyokong Tan Sri Muhyiddin dan
sebaliknya mencalonkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.
“Walau
bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin berjaya mendapat sokongan yang cukup
daripada ahli Parlimen dan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1
Mac 2020,” tambah Marzuki.
Pelantikan
Muhyiddin sebagai Perdana Menteri menandakan bermulanya pentadbiran
Perikatan Nasional (PN), yang disokong ahli Parlimen Bersatu, BN, Pas,
Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan
Parti Bersatu Sabah (PBS).
Pada 7 Ogos
2020, PN secara rasmi didaftarkan sebagai gabungan parti politik yang
terdiri daripada Bersatu, Pas, Star dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Selain
anggota pengasas PN ini, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)
bergabung dengan PN sebagai parti komponen pada 11 Februari 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan