HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2021

Perhimpunan Agung UMNO 2020 27,28 Mac

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2020 yang telah ditangguhkan sebanyak dua kali sebelum ini bakal dilaksanakan pada 27 dan 28 Mac depan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, tarikh tersebut diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dengan pelaksanaan secara bersemuka dan maya.

“Segala prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) akan dipatuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baca artikel berkaitan: UMNO tangguh perhimpunan, pemilihan ketika Zahid didesak ‘berehat’

Kenapa MT UMNO tidak putuskan kedudukan dalam Kerajaan PN?

Julai tahun lalu, MKT UMNO menetapkan Perhimpunan Agung UMNO 2020 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama dua hari bermula 27 November selaras dengan kebenaran bermesyuarat diperoleh daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan mesyuarat pengurusan parti.

Walau bagaimanapun, Oktober lalu, UMNO telah membuat keputusan untuk menangguhkan Perhimpunan Agung tahunannya sehingga selewat-lewatnya Jun 2021 ekoran penularan pandemik Covid-19.

Ahmad Maslan ketika itu menjelaskan Fasal 8.2 Perlembagaan UMNO menyebut bahawa Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh MKT dengan syarat tidak lewat daripada 18 bulan daripada tarikh Perhimpunan Agung terdahulu.

Fasal 8.2 Perlembagaan itu dibaca bersama Perkara 5.4 Peraturan Persidangan menyatakan tarikh Perhimpunan Agung, tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan tempoh Persidangan Cawangan adalah ditentukan oleh MKT.

Penangguhan tersebut melibatkan 764 persidangan iaitu empat mesyuarat perwakilan untuk setiap 191 bahagian UMNO seluruh negara.

Perhimpunan Agung yang kemudiannya dijadualkan pada 30 dan 31 Januari lalu sekali lagi terpaksa ditangguhkan selaras dengan proklamasi darurat dan PKP baharu yang dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan turut mengumumkan bahawa pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun ke-75 UMNO.

“Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pertandingan penulisan puisi, video pendek dan mencipta logo dengan maklumat lanjut boleh didapati di www.umno-online.my,” jelas beliau.

Tiada ulasan: