Firdaus Azil
Datuk
Seri Najib berkata, ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak juga
pernah melakukan perkara sama demi 'kestabilan dalam negara untuk
memulihkan
negara'.
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan
maksud sebenar kenyataan beliau mengenai “kerjasama dengan seteru
politik” boleh dilakukan sekiranya sesuai dengan parti dan kepentingan
negara.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya,
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau mengambil contoh tindakan yang
dilakukan ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1973 dengan
mengasaskan Barisan Nasional (BN) dan membenarkan kemasukan ‘musuh’ UMNO
ketika itu - Parti Gerakan Rakyat Malaysia, PPP (Parti Progresif
Penduduk) dan juga Pas.
Menurut
Najib, pemikiran Abdul Razak pada ketika itu adalah
mengenai agenda
paling penting iaitu kestabilan dalam negara untuk memulihkan negara.
“Dari
(peristiwa) ini, saya diajar bahawa politik ini adalah dinamik dan kita
perlu sentiasa kaji apakah langkah boleh diterima oleh ahli-ahli kita
yang paling sesuai bagi parti dan kepentingan negara,” kata bekas
Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu lagi.
Mengimbas
sejarah lepas, Najib berkata, sesiapapun pada tahun 2017 akan kurang
percaya bahawa Pas yang ketika itu seteru politik akan bersama-sama
dengan UMNO dan membentuk Muafakat Nasional pada 2018.
Bahkan,
jelas beliau, sesiapa pun pada akhir 2019 juga akan kurang percaya
bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang UMNO tentang pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan Kimanis, akhirnya bersama-sama
membentuk kerajaan baharu pada Februari 2020.
“Ia
juga menjadi realiti sebab ahli-ahli UMNO dan BN bersetuju untuk
bekerjasama dengan PPBM masa itu (tetapi kini ditolak oleh majoriti
ahli).
“Jadi, apa langkah untuk
berkerjasama dan siapa yang kita mahu berpakat (dengan) perlu
dipersetujui dan diterima majoriti ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin
UMNO-BN dan wajar dikaji demi masa depan parti dan juga demi kepentingan
bangsa, agama dan negara,” kata beliau dalam hantaran itu.
Namun
Najib sekali lagi menegaskan, apa sahaja langkah yang melibatkan dasar
dan hala tuju parti, harus bersandarkan kepada syarat bahawa ia mesti
diterima pemimpin dan akar umbi UMNO.
Selain itu, katanya lagi, jika sudah diterima, kerjasama itu pula harus berlandaskan kepada keikhlasan dan mempunyai trust (kepercayaan) sesama mereka.
“Jika
majoriti ahli-ahli parti bersetuju untuk bekerjasama dengan Tun (Dr)
Mahathir (Presiden Interim Parti Pejuang Tanah Air) atau Mat Sabu
(Presiden Parti Amanah Negara), atau Shafie Apdal (Presiden Parti
Warisan Sabah), kita explore (teroka).
“Jika
majoriti ahli-ahli parti bantah untuk kita bekerjasama dengan Anwar
Ibrahim, atau DAP, atau Shafie Apdal, kita tak teruskan. ‘Explore all options and think out of the box’ kata orang putih,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan