HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2021

Tuduhan terhadap Azeez berniat buruk, kata peguam

Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta 
berhubung projek jalan dan pengubahan wang haram manakala abangnya Latif
 telah dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengannya.

KUALA LUMPUR: Tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dibuat dengan niat buruk, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Amer Hamzah Arshad berkata, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap dan menahan Azeez bagi siasatan berhubung isu Tabung Haji namun sebaliknya dia kemudian didakwa atas tuduhan lain.

“Sebagai Ahli Parlimen, ini mencemarkan reputasinya dan merosakkan nama baiknya,” kata Amer dalam hujahannya untuk membatalkan tuduhan terhadap Azeez yang juga bekas pengerusi lembaga Tabung Haji.

Amer berkata, SPRM menyerbu rumah anak guamnya tidak lama selepas pilihan raya umum ke-14 pada 12 Mei 2018.

“Lima bulan kemudian dia ditangkap dan ditahan untuk siasatan, dengan naratifnya adalah bahawa ia berkaitan dengan Tabung Haji,” katanya, dengan menambah pendakwa tidak menafikan tindakan SPRM yang menyalahi undang-undang itu.

Azeez dan abangnya Latif didakwa pada awal 2019, dan pada September tahun lalu pendakwaan meminda tuduhan terhadap mereka.

Azeez, 54, didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah bernilai RM5.2 juta berhubung projek jalan di Perak dan Kedah, selain 10 tuduhan pengubahan wang haram.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017, serta 10 April 2018. Tuduhan mengubah wang haram berkenaan didakwa dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Latif, 63, didakwa bersubahat dengannya untuk mendapatkan rasuah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai imbuhan untuk membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan menerusi tender terhad daripada kementerian kerja raya.

Projek itu melibatkan Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Baru serta kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644.5 juta.

Pada Disember, Azeez, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya.

Bagaimanapun, bulan lalu pendakwaan menarik balik tuduhan terhadap Latif ketika perbicaraan sedang berjalan di Mahkamah Sesyen.

Amer berkata, tuduhan terhadap Azeez adalah cacat dan tidak berasas, kerana tidak mengikut prosedur ditetapkan dalam Kanun Prosedur Jenayah walaupun telah dipinda pada September lalu.

“Tuduhan berkenaan tidak jelas disebabkan perubahan terhadap fakta asas kes,” katanya dengan menambah penjelasan diperlukan untuk Azeez menjawab tuduhan terhadapnya.

Amer berkata, pendakwaan hanya perlu menarik balik tuduhan dan memohon Azeez dibebaskan daripada tuduhan terhadapnya.

“Pendakwaan berhak merangka tuduhan baharu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berkata permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

“Tiada ketakadilan berlaku, dan permohonan membatalkan tuduhan adalah pramatang,” katanya, dengan menambah perbicaraan telah bermula dengan pendakwa memanggil lima saksi untuk memberi keterangan.

Katanya, pendakwaan patut diberi peluang membuktikan kesnya.

“Mereka tidak boleh memohon untuk tuduhan digugurkan atas alasan ia cacat dan tidak berasas,” katanya dengan menyifatkan itu sekadar taktik untuk melambatkan prosiding walaupun Azeez telah didakwa dua tahun lepas.

Aslinda berkata, pembelaan tidak bersuara ketika tuduhan dipinda dengan izin hakim perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin akan membuat keputusan pada 12 Mac.

Tiada ulasan: