Tanggapan bahawa proklamasi darurat halang Parlimen bersidang tidak tepat
BANGI – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
“Oleh yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.
“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seri Paduka bertitah demikian ketika menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan serta etika tataperlakuan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.
Sementara itu, berhubung dengan perkembangan terkini wabak COVID-19, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi-agensi kerajaan di atas usaha merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada hari ini.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak COVID-19.
“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan