
KUANTAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyerahkan notis tuntutan saman RM10 juta kepada Datuk Dr. Xavier Jayakumar esok.
Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu mengesahkan perkara itu hari ini.
Menurutnya, tuntutan tersebut akan diberikan secara rasmi melalui peguam PKR.
Tambahnya, pihak Xavier akan diberikan notis tuntutan tersebut dan ia perlu dijawab dalam tempoh tujuh hari.
Chean Chung menegaskan, kesemua 19 wakil rakyat yang keluar parti akan disusuli tindakan yang sama tanpa sebarang kompromi.
Ini kerana tindakan PKR mengenakan denda RM10 juta terhadap mana-mana wakil rakyatnya yang melompat parti sudah sedia dimaklum dan dipersetujui dari awal.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Agung Tahunan 2020 Cabang PKR Indera Mahkota di Hotel Mandurah, Pantai Beserah hari ini.
“Surat itu akan dihantar esok sebenarnya oleh peguam kami kepada Dr. Xavier sebab kami tidak ada dua darjat. Kepada siapa yang meninggalkan parti mereka perlu terima akibat mereka seharusnya membayar RM10 juta seperti apa mereka setuju dalam surat consent.
“Semua tuntutan 19, diteruskan dengan mendahulukan kes melibatkan Ahli Parlimen Ampang, (Datuk) Zuraida (Kamarudin) di mana dua-dua pihak sedang dalam proses membalas hujah.” kata Chean Chun.
Terdahulu Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat mengumumkan perletakan jawatan sebagai naib Presiden PKR dan keluar parti itu pada 13 Mac lalu.
Xavier memilih untuk menjadi Ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional. – MalaysiaGazatte
Tiada ulasan:
Catat Ulasan