HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 April 2021

Kalau tak sokong PN, kita nak sokong kerajaan apa lagi, soal Shahidan

MG189042021_DATUKSHAHIDANPRIMA_11
Pengerusi Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berucap ketika majlis berbuka puasa pengerusi PR1MA bersama media di Pusat Dagangan Dunia,Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID,

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim membidas pihak tertentu yang mempersoalkan usahanya meminta ketua-ketua UMNO bahagian untuk menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya Shahidan mempersoalkan pendirian UMNO yang mahu memutuskan hubungan dengan PN sedangkan wakil-wakil rakyatnya masih mendapat tempat dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mereka (Ketua Bahagian) sokong, kalau kita tak sokong kerajaan PN kita nak sokong kerajaan apa lagi.

“Dalam keadaan sekarang ini, Kerajaan PN berada dalam kedudukan tipis. Kita pun dah kata bahawa kita No Anwar, No DAP.

“Ke mana lagi kita nak pergi, kecuali kalau kita berkaitan jajaran baru, kena tanya orang UMNO, orang UMNO nak terima atau tidak,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Semalam, Shahidan dipercayai mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua UMNO bahagian Perlis untuk meminta mereka terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, beliau tidak bersetuju dengan keputusan UMNO untuk memutuskan hubungan dengan PN pada PRU15 akan datang.

“Saya tak setuju untuk BN keluar daripada PN. Kita dah putus bahawa dekat pilihan raya baru kita buat keputusan untuk keluar, sekarang tidak. Sekarang terus bersama PN.

“Kena ingat UMNO kita hanya ada 42 kerusi, tapi kita ada 18 menteri timbalan menteri bukan kita tak ada langsung,” katanya.

Beliau menegaskan jika UMNO mahu bekerjasama dengan PKR mahupun DAP, jumlah kerusi tidak akan berubah sepertimana keputusan PRU14 lalu.

“Kalau pergi ke arah PKR dan DAP pun, itu juga jumlah kerusi kita. Tapi kalau pergi ke PKR DAP ini, memalukan laa. Slogan kita No Anwar no DAP.

“Mesej nak bawa sekarang ini apa pun perbezaan kita masa pilihan raya, bukan sekarang, sekarang mesti bekerjasama di antara UMNO, Bersatu PAS GPS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: