KELMARIN saya terbaca komen seorang Ustaz mengenai statement Dato’
Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) dalam sebuah dialog berkaitan
Palestin. Di mana dalam dialog itu TGHH memberikan saranan agar
negara-negara Islam mengadakan hubungan diplomatik dengan negara
bukan-Islam yang lain yang tidak menyokong Israel. Supaya dengan itu
negara-negara tersebut akan berpihak kepada negara Islam yang menentang
Israel.
Sekurang-kurangnya mereka tidak bergabung dan membantu
negara haram Israel menyerang Palestin. Dengan itu wujud imbangan kuasa
besar dunia yang sedikit sebanyak memberikan kebaikan kepada Palestin
dan negara Islam yang lain.
Tiba-tiba Ustaz tersebut bangkitkan mempertikaikan cadangan dan pandangan itu. Kononnya bercanggah dengan prinsip Islam, yang mengharamkan bekerjasama dengan orang-orang kafir. Larangan menjadikan mereka teman sekutu serta menjadikan mereka sebagai pemimpin jelas ditegah dalam al-Quran. Lalu beliau berkata TGHH sudah U-Turn dari prinsip asas politik Islam.
Saya selalu menulis di sini bahawa Ustaz-lah macam mana pun kita, hendaklah berada dalam jamaah. Dalam jamaah itu ada ramai orang. Ada ahli fekah, ada yang mahir Hadis, ada yang tahu tafsir, ada yang pakar Bahasa Arab, ada ahli mengenai politik Islam dan bagai-bagai lagi. Bila ada satu-satu isu maka dimuzakarahkan. Dengan itu akan dapatlah dibuat rumusan setelah semua pakar-pakar yang terlibat tadi memberi pandangan. Melihat suatu dengan teropong berbeza dengan melihat suatu menggunakan kamera 3D yang boleh diputar 360 darjah. Dari sinilah dapat difahami mengapa ‘Ijmak Ulamak diiktiraf sebagai salah satu daripada sumber hukum Islam.
Tidak dinafikan di sana setiap perkara itu ada hukumnya. Tetapi hukum itu juga sangat berkait dengan disiplin-disiplin lain yang ada dalam Islam. Ada perkara yang Daruriyyat, ada perkara yang Haajiyaat dan ada perkara yang Tahsiniyyat. Ada pula hukum yang bersifat Mutaghayyirat dan ada yang Thawabit. Di sana juga ada Qaweed Fiqhiyyah yang memandu perjalanan umat khususnya apabila berdepan dengan perkara-perkara baru yang tidak pernah ada sebelumnya.
Politik adalah sebahagian daripada wasilah dakwah. Kerana dengan adanya kuasa politik maka jalan dan laluan dakwah terbuka lebih lebar dan lancar. Politik berkuasa membuang segala halangan dakwah supaya dakwah dapat berkembang dengan pesat dan Islam dapat ditancap kukuh di tengah-tengah pentas dunia.
Perlu diingat bahawa Rasulullah-lah orang yang paling faham ayat yang melarang bekerjasama dengan orang-orang kafir, paling faham ayat yang melarang menjadikan orang kafir sebagai pimpinan. Tapi dalam masa yang sama Rasulullah telah mengambil kesempatan atas ‘sistem Himayah’ Jahiliyyah Arab untuk melindungi perjalanan awal dakwah Islam di Makkah.
Baginda juga yang mengarahkan Sahabat berlindung di negara Kafir Habasyah walhal ketika itu an-Najasy adalah pemimpin kafir. Rasulullah-lah yang mengadakan Perjanjian Piagam Madinah dengan orang-orang Kafir Yahudi di Madinah ketika awal Hijrah. Abdullah bin Huzaifah antara insan yang hidup bersama Nabi S.A.W, yang sudah sangat tentu memahami ayat-ayat Allah yang melarang merendahkan diri kepada orang-orang kafir, tapi beliau-lah Sahabat Nabi yang telah mencium kepala Kaisar Rom ketika beliau ditawan oleh tentera Rom dalam perang Islam dan Rom pada tahun 19 Hijrah. Hingga apabila beliau dibebaskan dan sampai ke Madinah Umar Al-Khattab mencium kepala Huzaifah kerana memuji tindakan beliau.
Oleh itu jangan terlalu cepat berkomen jika kita belum memahami latar belakang sesuatu perkara. Untuk mengetahui latar belakang itu perlu kepada penjelasan dari ahlinya. Kerana penduduk Makkah-lah yang paling tahu jalan dan lorong yang ada di perkampungan Makkah.
Sama-lah seperti ada komen-komen yang berkata. Dulu PAS bekerjasama dengan DAP boleh, tiba-tiba kami dari parti PH nak bekerjasama dengan DAP tak boleh. PAS ini hipokrit. Memang-lah kamu akan pelik apabila kamu gagal memahami background-nya.
(*) USTAZ MOKHaTAR SENIK- Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan