HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Tajuddin mahu bantuan kecemasan lebih tinggi diberi kepada mangsa tragedi LRT

 SUARA MERDEKA

Pampasan sebanyak RM1,000 disifatkan sebagai bukan angka yang wajar diberikan kepada mangsa ekoran kecederaan dan trauma yang dialami mereka.

Selain itu, bantuan seperti tuntutan daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso) juga sepatutnya diuruskan bagi mangsa yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pergi atau pulang dari tempat kerja.

Bagaimanapun, bantuan kecemasan dan pengurusan tuntutan daripada Perkeso itu hanya sempat dicadangkan sahaja sebelum Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada jawatan itu.

“Berjanji bahawa dia akan memastikan siasatan penuh punca tragedi tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambah baik SOP keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama ini tidak berulang.

“Berjanji akan letak jawatan sebaik sahaja MKT UMNO arahkan semua ahli UMNO untuk meletak jawatan pada masa yang sesuai seperti keputusan PAU UMNO beberapa bulan lepas.”

NAJIB RAZAK

Demikian kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menerusi satu hantaran dalam Facebook semalam selepas menghubungi Tajuddin.

Tambah Najib, beliau mendengar permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang mengakui tidak sepatutnya mengendalikan sidang media secara berseloroh ketika situasi kecemasan terjadi.

Isnin lalu, Suara Merdeka melaporkan dua buah LRT Laluan Kelana Jaya dilaporkan bertembung di dalam terowong di antara Stesen Kampung Bharu dan KLCC.

Tragedi tersebut menyebabkan 233 penumpang kedua-dua LRT itu mengalami trauma, 166 daripadanya cedera ringan dan 47 pula cedera parah.

Walau bagaimanapun, susulan tragedi tersebut dan sidang akhbar yang dilakukan Tajuddin, beliau kemudian digugurkan daripada jawatan Pengerusi Prasarana berkuat kuasa serta merta.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Azizn dalam satu surat semalam.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuasa kuasa serta-merta,” katanya. – SM

Tiada ulasan: