HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2021

Arifin wajar gesa PM tamatkan darurat, kata Lim

MALAYSIAKINI Malaysiakini

Veteran DAP Lim Kit Siang meminta Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Arifin Zakaria mengarahkan jawatankuasa yang diterajuinya itu untuk menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya menamatkan pelaksanaan darurat.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata pelaksanaan darurat dilihat gagal menjadi senjata berkesan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang juga mantan ketua hakim negara Tun Arifin Zakaria wajar mengarahkan jawatankuasa tersebut bagi membuat pertimbangan mengenai keperluan untuk meminta perdana menteri agar menamatkan pelaksanaan darurat.

"Bukan hanya kerana pengisytiharan darurat itu sendiri adalah suatu kegagalan, tetapi langkah itu juga sebenarnya bukanlah senjata yang terbaik untuk digunakan bagi melawan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 9 Feb lalu, perdana menteri mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan media, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Lim berkata, Malaysia telah menjadi contoh negara yang dilihat gagal membendung penularan Covid-19 - setelah empat bulan pengisytiharan darurat.

Malah katanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah telah menjadi tajuk berita antarabangsa selepas beliau mengeluarkan amaran bahawa Malaysia harus bersiap sedia untuk berdepan gelombang Covid-19 terburuk.

"Meskipun Malaysia berada di kedudukan ke-41 dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi (selepas memintas Maghribi dan Lubnan -- dan kini dipintas oleh Nepal), Malaysia berada di kedudukan ke-11 antara negara-negara dengan kadar kes harian Covid-19 tertinggi semalam," katanya.

Tiada ulasan: