HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Ahmad Maslan sindir Tajuddin selepas pemecatan Pengerusi Prasarana

AGENDA DAILY

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyindir Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas dipecat daripada jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sambil menyifatkan langkah yang dilakukan oleh Menteri Kewangan itu tepat dan kena pada masanya.

Mengingatkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu supaya tabah, Ahmad Maslan berkata, jawatan yang dipegang oleh Tajuddin itu hanyalah bersifat sementara dan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempunyai hak dan kuasa penuh untuk menamatkan kontrak tersebut.

“Jawatan yang dipegang seseorang atas lantikan politik hanyalah bersifat sementara dan mana-mana menteri berhak menamatkan kontraknya.

“Dalam kes Tajuddin, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhak melakukan tindakan sedemikian,” katanya yang dipetik mengulas mengenai perkara itu menerusi Facebooknya, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pemecatan Tajuddin daripada jawatan Pengerusi Prasarana oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Agenda Daily melaporkan Tajuddin mencetuskan kontroversi berhubung caranya yang tidak profesional mengendalikan sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas Transit Aliran Ringan (LRT) kelmarin.

Kementerian Kewangan menamatkan perkhidmatannya serta-merta hari ini dan surat penamatan kontrak tersebut ditandatangani Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertarikh 26 Mei 2021.

Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.

Tajuddin antara salah seorang pemimpin UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) lalu yang lantang menyokong keputusan parti untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun beliau tidak melepaskan jawatannya walaupun Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah memberi isyarat kepada Menteri dan Timbalan Menteri UMNO serta mereka yang memegang jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) supaya meletak jawatan selepas ketetapan dibuat dalam mesyuarat agung itu.

Tiada ulasan: