HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Tunggu apa lagi, kata Puad kepada Tajuddin

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Masa untuk tarik sokongan, kata ahli Majlis Tertiggi, Mohd Puad Zarkashi, selepas kerajaan menamatkan khidmat Tajuddin Abdul Rahman dari Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) semalam.

Menurut Mohd Puad, tidak ada apa yang perlu dinantikan oleh pengarah pilihan raya Umno Malaysia itu sekarang.

"Tunggu apa lagi Dato Tajuddin Abdul Rahman. Kamu sudah dipecat sebagai pengerusi Prasarana.

"Umum segera tarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya dalam catatan ringkas di media sosial pagi ini.

Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan surat menamatkan perkhidmatan Tajuddin daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu. Penamatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Ia berlaku selepas Tajuddin dikecam teruk pelbagai pihak kerana cara dia mengendalikan sidang media bagi menjawab persoalan mengenai kemalangan LRT pada kelmarin.

Kemalangan berkenaan menyebabkan lebih 200 orang cedera, termasuk sebahagiannya dalam keadaan parah.

Untuk rekod Mohd Puad antara pemimpin kanan Umno yang giat menyerang kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketiga sebahagian daripada ahli parlimen parti itu menjadi sebahagian daripada kabinet Muhyiddin.

Selain Mohd Puad, Tajuddin juga pernah agak lantang mengkritik PN dan Muhyiddin. Tajuddin diberikan jawatan pengerusi Prasarana oleh kerajaan PN pada 13 Mei 2020.

Ahmad doakan Tajuddin

Ahli parlimen Pasir Salak itu dilantik menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim, yang meletakkan jawatan tidak sampai seminggu sebelum itu.

Zaharah dipilih mempengerusikan Prasarana oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu janji mereka untuk mengurangkan sebanyak mungkin lantikan politik dalam GLC. 

Gesaan dibuat Mohd Puad kepada Tajuddin hari ini berlaku ketika pelbagai pihak mempersoalkan sokongan yang dinikmati Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Bagaimanpun untuk rekod di sebalik pelbagai spekulasi yang ada, kerajaan masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk mengadakan sidang parlimen dalam waktu terdekat.

Sementara itu Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata sesuatu jawatan yang disandang dalam politik hanya bersifat sementara.

Menciap untuk mengulas ringkas penamatan khidmat Tajuddin, Ahmad berkata tidak ada manusia yang sempurna dan jawatan disandang ahli politik terbabit adalah atas lantikan kerajaan.

"Jawatan di Prasarana itu lantikan Tengku Zafrul dan beliau berhak tamatkan (khidmat Tajuddin).

"Manusia mana ada yang sempurna. Saya doakan yang terbaik untuk Tajuddin dan menteri juga," katanya.

Tiada ulasan: